PETALING JAYA: Negara didakwa bakal kehilangan pulangan sebanyak RM140 bilion daripada 35 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dipecat.
Presiden Pelaburan Pelancongan Malaysia (ITAM), Kapten Mahadzir Mansor berkata, tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengecewakan seluruh pemain industri.
Kata beliau, pemecatan Dr. Ammar dibuat tanpa alasan yang munasabah dan ia memberi kesan kepada semua pemain industri yang sudah lama bekerjasama dengannya.
“Kami semua sedang giat membuat persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 iaitu lebih kurang empat juta orang yang diketuai oleh Dr. Ammar. Jadi tiada angin ribut beliau dibuang, ini jejaskan moral kami semua.
“Kita semua buat kerja demi negara dan industri, kira-kira 35 juta orang akan datang ke Malaysia jadi persiapan perlu dilakukan bermula sekarang.
“Jika seorang pelancong berbelanja RM4,000 maka negara akan menghadapi kerugian RM140 bilion sebab kami semua tidak mahu sekiranya tiada Dr. Ammar kerana semua sudah hilang semangat disebabkan pemecatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebuah notis penamatan pelantikan yang dilihat Utusan Malaysia daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, bertarikh 22 Februari lalu memaparkan khidmat Dr. Ammar ditamatkan berkuat kuasa pada 26 Februari ini.
King Sing melalui notis tersebut berkata, penamatan itu selaras dengan peruntukan subsekyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 dibaca bersama dengan peruntukan seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
“Saya selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertanggungjawab ke atas Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dengan ini memutuskan pelantikan sebagai Ketua Pengarahnya adalah ditamatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mahadzir menggesa pemecatan Dr. Ammar ditangguhkan selepas Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memastikan semua pemain industri yang terlibat tidak terus hilang semangat sehingga menyebabkan negara mungkin berhadapan dengan kerugian.
“Dr. Ammar tidak ada salah apa pun, jadi janganlah pecat beliau sekarang. Perkara ini melibatkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut menangguhkan pemecatan Dr. Ammar sehingga Tahun Melawat Malaysia 2026 selesai. – UTUSAN










