PETALING JAYA: Pecca Aviation Services Sdn. Bhd. (Pecca Aviation), anak syarikat milik penuh Pecca Group Berhad, menandatangani perjanjian agensi dan pengedaran dengan Global Component Asia Sdn. Bhd. (GCA), untuk memulakan perkongsian strategik yang akan meningkatkan standard penyenggaraan, pembaikan dan operasi dalaman pesawat (MRO) di pasaran utama global.
Perjanjian itu susulan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada Mei 2023, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk membabitkan diri dalam usaha pemasaran bersama bagi mempromosikan penyelesaian sarung tempat duduk pesawat keluaran Pecca bagi pasaran awam dan pertahanan global.
Majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di Singapura sempena Pertunjukan Udara Singapura 2024, dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar, dan Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Professor Technologist Shamsul Kamar Abu Samah.
Pecca dalam kenyataan berkata, perkongsian itu akan menyaksikan Pecca Aviation menyediakan penyelesaian dalaman pesawat kepada senarai pelanggan penerbangan terkemuka GCA, termasuk syarikat penerbangan yang berada dalam industri penyenggaraan, pembaikan dan operasi.
“Pada masa sama, Pecca Aviation dan GCA akan bekerjasama untuk melayani permintaaan pasaran utama termasuk Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Indonesia.
“Dengan menyasarkan wilayah ini secara strategik, GCA dan Pecca Aviation menyasarkan untuk menawarkan penyelesaian dalaman penerbangan yang komprehensif kepada pelbagai pelanggan meningkatkan pengalaman penerbangan keseluruhan untuk penumpang dan mengoptimumkan kecekapan operasi untuk pengendali penerbangan,” katanya.
Mengulas pencapaian itu, Pengarah Eksekutif Pecca Group, Teph Zi yi berkata, Kumpulan sangat teruja untuk bergabung tenaga dengan GCA dalam mempercepatkan pengembangan global Pecca Aviation.
“Komitmen bersama kami terhadap inovasi dan kualiti akan membolehkan kami memberikan hasil yang luar biasa untuk pserta penerbangan di seluruh Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Indonesia,” katanya.
Pengerusi GCA, Datuk Nonee Ashirin pula berkata, kerjasama dengan Pecca Aviation adalah satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen Syarikat menyediakan penyelesaian penerbangan peringkat teratas.
“Dengan rekod prestasi dan kepakaran mereka yang terbukti dalam industri, kami yakin bahawa bersama-sama, kami akan menetapkan piawaian baharu untuk kecemerlangan dalaman pesawat,” katanya. – UTUSAN










