SAKHIR, Bahrain: Juara dunia Formula Satu (F1) tiga kali Max Verstappen menguasai hari pertama ujian pramusim baharu di sini, semalam sekali gus memberi amaran kepada pelumba lain yang mahu merebut kejuaraan pada tahun ini.
Pelumba pasukan Red Bull itu masih sukar dicabar, malah meninggalkan pencabar terdekatnya, Lando Norris dari McLaren di tempat kedua dan Carlos Sainz yang memandu Ferrari tempat ketiga.
Sainz selepas ini akan kehilangan tempatnya kepada bekas juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton yang menamatkan musimnya terakhirnya bersama Mercedes.
Kemampuan Verstappen dalam ujian pramusim semalam memberi suntikan semangat kepada pasukannya ketika persiapan mereka diganggu dengan siasatan terhadap ketua pasukan, Christian Horner yang berdepan dengan dakwaan berkelakuan tidak senonoh terhadap salah seorang petugas wanita.
“Saya berasa seronok dapat kembali. Saya begitu teruja berlumba di litar hari ini. Kami melakukan dengan terbaik terutama di selekoh dan mencuba sesuatu yang baharu dengan kereta ini. Keseluruhannya saya berpuas hati,” kata Verstappen.
Horner sebelum ini memberi keterangan selama lapan jam selepas seorang petugas pasukannya membuat aduan diganggu oleh lelaki berusia 50 tahun itu.
Horner telah menafikannya.
Ketua pasukan Merdeces, Toto Wolff menggambarkan siasatan kes itu sebagai isu yang melibatkan semua pihak F1.
“Sekiranya siasatan ini dibuat dengan betul dan telus, saya berpendapat kita semua kena mengambil maklum mengenainya. Apa kesannya terhadap industri perlumbaan ini dan apa yang kita pelajari daripadanya.
“Kita sepatutnya bercakap tentang perlumbaan dan bukan tentang isu ini. Ia lebih kepada masalah pasukan tetapi apakah perkara ini fenomena atau isu kepada Formula Satu,” kata Wolff dalam sidang akhbar. – AFP/UTUSAN










