Jumpa keluarga: Banduan akhir syukur dalam sebak - Utusan Malaysia

Jumpa keluarga: Banduan akhir syukur dalam sebak

Sebahagian banduan dan ahli keluarga diberi peluang makan bersama ahli keluarga masing-masing sempena Program Jalinan Kasih sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 Penjara Tapah semalam. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Empat banduan akhir di Penjara Tapah di sini bersyu­kur dalam sebak apabila dapat bertemu dengan ahli keluarga selepas enam tahun.

Seorang daripada banduan tersebut yang mahu dikenali sebagai Lee, 30, berkata, ini kali pertama dia berpelukan dan bergambar bersama dengan ahli keluarganya sejak dihukum penjara pada 2018.

“Perasaan saya bercampur aduk. Saya rasa bersyukur, sebak dan sangat gembira apabila dapat berpelukan dengan ahli keluarga, bergambar dan makan bersama mereka.

“Sudah hampir dua tahun saya ditempatkan di Penjara Tapah dan ini kali pertama saya berjumpa keluarga begini, selalunya berhubung melalui telefon di tempat jumpa sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia ditemui sempena Program Jalinan Kasih sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 di sini semalam.
Menurutnya, program se­perti itu sangat baik dan harus diteruskan pada masa akan datang.

Lee, yang ditahan atas ke­salahan membawa dadah jenis methamphetamine bersama em­pat lagi rakannya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah mengakui menyesali perbuatannya itu.

Atas kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Dia dalam proses memfailkan rayuan di mahkamah harap masih ada peluang untuknya kembali bersama keluarga.

Anak kedua daripada empat beradik ini juga berharap dapat diringankan hukuman atau pengampunan Sultan.
Sementara itu, Penguasa Penjara Tapah, Mohd Nizar Abdullah berkata, seramai 17 orang penghuni Penjara Tapah dan 17 keluarga berbangsa Cina dan India terpilih menyertai program tersebut semalam.

“Majlis ini dianjurkan setiap tahun untuk mempereratkan hubungan kekeluargaan antara banduan dan keluarga tercinta setelah sekian lama terpisah dengan tembok penjara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×