KUALA LUMPUR: Keterangan seorang bekas Menteri Kewangan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 billion.
Menteri yang berkhidmat ketika pentadbiran kerajaan tahun 2020 sehingga 2021 itu dipanggil bagi menjelaskan penganugerahan kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn. Bhd. (Spanco).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keterangan bekas Perdana Menteri yang berkhidmat semasa tahun sama juga berkemungkinan diambil.
“Kita akan panggil sesiapa sahaja termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas menteri yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan.
“Kes membabitkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Azam berkata, ramai saksi yang sudah dipanggil memberi keterangan.
“Kita serah kepada pegawai penyiasat yangi mana jika ada keperluan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan,” jelasnya.
Katanya, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau bertanggungjawab melaksanakan kerjanya berdasarkan undang-undang, aduan dan tohmahan yang diterima.
“Buat masa ini, ia adalah tanggungjawab saya yang mana apa saja diberi (aduan) kepada kami akan disiasat,” katanya.
Pada Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM akan menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia.
Siasatan SPRM ketika ini akan menumpukan bagaimana pemberian perolehan kontrak kerajaan itu kepada syarikat yang disiasat.
Pada 19 Januari lalu, akhbar ini mendedahkan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu SPRM bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.
Kehadiran pegawai SPRM di kediaman ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada pukul 10 pagi.
Turut diserbu iaitu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya merupakan syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang telah dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
Tiga lagi syarikat yang diserbu merupakan entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
Kehadiran pegawai SPRM di semua lokasi termasuk kediaman milik Tan Sri berkenaan adalah bagi memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
Dokumen itu diambil SPRM bagi penelitian lanjut bagi melihat sama ada terdapat perlakukan rasuah dalam perolehan kontrak kerajaan.
Lapor Utusan Malaysia, Tan Sri itu adalah pemegang saham individu tertinggi di dalam syarikat pembekal kenderaan kerajaan tersebut
Susulan siasatan dilakukan SPRM, lebih 100 akaun persendirian dan syarikat yang di bawah kawalannya diperolehi SPRM bagi semakan lanjut namun tiada pembekuan akaun dibuat.
Difahamkan, tindakan yang diambil SPRM ini adalah kesinambungan kepada siasatan yang dilakukan suruhanjaya ini sejak Julai tahun lalu lagi.
Siasatan dilakukan bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Pada Julai tahun lalu, seorang taikun perniagaan mendedahkan dirinya telah menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada dua syarikat selepas seorang pemimpin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dilantik adalah RM700 juta lebih tinggi.
Rentetan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan menggesa SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan dan pendedahan ahli perniagaan itu. – UTUSAN










