SHAH ALAM: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu mengenal pasti keperluan industri dan membuat penyelidikan yang boleh menyelesaikan sesuatu isu yang dikehendak industri.
Dengan itu hasil penyelidikan tersebut boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti atau perkhidmatan dalam industri dan akhirnya memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapa Samud berkata, penyelidikan yang menepati keperluan industri adalah penting supaya usaha tersebut tidak berakhir di rak atau perpustakaan semata-mata.
“Bagi saya ini adalah wake up call kepada kita semua terutama kepada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) agar melihat kembali keberkesanan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibuat selama ini.
“Saya secara peribadi fikir kita kena buat intervensi untuk memastikan R&D dapat menyelesaikan permasalahan yang berlaku terhadap rakyat di negara ini. Pensyarah perlu mencari penyelidikan yang dapat membantu menyelesaikan masalah,” kata beliau selepas Majlis Anugerah Sukan UiTM 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam kelmarin.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan pemain industri didakwa lebih berminat memilih hasil penyelidikan negara luar sehingga mengakibatkan banyak kajian IPT tempatan dipandang sepi walaupun berkualiti tinggi.
Malah berdasarkan laporan Harta Perbadanan Intelek (MyIPO) hanya 1,806 produk penyelidikan IPTA didaftarkan atau dipatenkan sejak 2018 sehingga Ogos 2023.
Dalam pada itu, Mustapa bercadang memanggil wakil universiti dan industri untuk bersemuka bagi membincangkan jenis penyelidikan yang diperlukan supaya lebih banyak usaha dapat dilakukan dalam memenuhi keperluan mereka.
PENYELIDIKAN
“Terdapat beberapa kes yang mana hasil penyelidikan dibuat universiti tempatan diterima oleh pihak luar negara. Apabila penyelidikan itu diterima, baru pihak industri buka mata dan mahu menggunakan hasil penyelidikan itu.
“Apapun, saya harap selepas ini pihak industri boleh mencari hasil penyelidikan universiti tempatan terlebih dahulu sebelum mencari hasil penyelidikan luar negara,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan polisi baharu berkaitan permasalahan tersebut.
Menurutnya, universiti perlu bekerjasama dengan industri untuk menghasilkan penyelidikan yang diperlukan sebagai syarat untuk memperoleh dana penyelidikan daripada kerajaan.
“Justeru, universiti hanya akan melakukan penyelidikan yang diperlukan pihak industri.
“Saya rasa pihak industri pun akan bersetuju dengan dasar sedemikian. Dalam masa sama, saya harap kerajaan boleh memperkenalkan insentif pelepasan cukai kepada pihak industri yang menyertai aktiviti penyelidikan bersama universiti,” jelasnya. – UTUSAN










