KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang menyusut merupakan satu khabar baik kepada pencari pekerjaan di Malaysia, kata Pengarah Pengurusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Vic Sithasanan.
Beliau berkata, perkembangan itu akan menyebabkan ramai pelabur asing melabur di dalam negara, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di pasaran.
Jelasnya, kelemahan mata wang ringgit berbanding mata wang lain tidak menjadi faktor utama pekerja Malaysia berhijrah ke luar negara kerana ia turut disumbangkan oleh faktor lain.
“Sebagai contoh, segelintir rakyat Malaysia berpindah ke Singapura bukanlah disebabkan kelemahan ringgit kerana disana juga kos sara hidup tinggi,” katanya kepada media selepas Taklimat Media Mengenai Landskap Pekerjaan Malaysia dan Transformasi Jobstreet Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada lagi data di Jobstreet yang mengatakan sedemikian, sebaliknya terdapat peningkatan bilangan calon dan permohonan pekerjaan di platform itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asia SEEK, Peter Bithos berkata, Jobstreet menganggarkan pelaburan sebanyak RM560 juta bagi penggabungan pasaran pekerjaan SEEK di beberapa buah negara untuk tiga tahun pembangunan.
Katanya, diplatform APAC yang dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI) SEEK, terdapat 8 negara telah disatukan bagi memudahkan rakyat Malaysia mencari pekerjaan di negara tersebut.
“Pada tahun lepas, 6 negara telah disatukan termasuk Malaysia, dan Januari tahun ini ditambah dua lagi negara luar iaitu Thailand dan Hong Kong,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, SEEK berhasrat untuk merealisasikan impiannya dalam membantu 500 juta orang membangunkan kerjaya mereka dengan lima juta syarikat di rantau ini. – UTUSAN










