WFP henti hantar bantuan ke utara Gaza

WFP henti hantar bantuan ke utara Gaza, konvoi tak tahan diserang Israel

KONVOI bantuan WFP diserbu penduduk kelaparan ketika melalui bandar Wadi di Semenanjung Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Program Makanan Sedunia (WFP) menghentikan sementara penghantaran makanan ke utara Gaza selepas konvoi bantuan berdepan kekacauan dan keganasan akibat keruntuhan ketenteraman awam di wilayah bergolak itu.

Agensi itu berkata, keputusan berkenaan terpaksa dilakukan selepas kakitangan dan sukarelawannya berdepan cabaran besar yang mengancam nyawa akibat serbuan orang ramai, tembakan dan rompakan yang semakin tidak terkawal.

LORI BANTUAN DISERANG

Penghantaran bantuan ke utara Gaza kini semakin terhad dan bergantung kepada pelepasan keselamatan daripada tentera Israel.

Hujung minggu lalu, WFP berharap memulakan penghantaran 10 buah lori bantuan setiap hari selama seminggu untuk membantu membendung gelombang kebuluran yang semakin memuncak.

Tetapi pada Ahad lalu, ketika konvoi menghampiri pusat pemeriksaan Wadi dalam perjalanan ke utara, lori bantuan badan itu dikelilingi oleh orang ramai yang kelaparan dengan beberapa percubaan untuk memanjat dan mencuri barangan yang dibawa.

Kemudian semasa memasuki Gaza City, lori berkenaan berdepan tembakan bertubi-tubi akibat pertempuran berterusan yang amat membahayakan anggota sukarelawan.

Selain itu, beberapa lori yang memandu antara bandar selatan Khan Younis dan bandar tengah Deir al-Balah turut dirompak dan seorang pemandu dipukul.

Agensi itu berkata, pihaknya akan segera mencari jalan untuk menyambung semula penghantaran bantuan secepat mungkin dan menggesa perluasan kawasan selamat besar-besaran ke utara Gaza. 

Usaha itu akan memudahkan jumlah bantuan makanan yang lebih besar memasuki Gaza dari pelbagai laluan dan menyeru agar titik persimpangan antara Israel dan utara Gaza dibuka.

“Ia juga memerlukan sistem pemberitahuan kemanusiaan yang berfungsi, rangkaian komunikasi dan keselamatan yang stabil untuk kakitangan dan rakan kongsi kami serta untuk rakyat Gaza sendiri.

“Gaza bagai telur di hujung tanduk  dan WFP mesti diperkasa untuk menghalang laluan ke arah kebuluran bagi beribu-ribu orang yang sangat kelaparan ketika ini,” kata bdan itu dalam satu kenyataan.

KRISIS KEBULURAN MEMUNCAK

WFP berkata, sejak dua hari lalu pasukannya menyaksikan keadaan terdesak yang belum pernah terjadi sebelum ini di Semenanjung Gaza.

“Makanan dan air selamat menjadi sangat terhad dan penyakit berleluasa. Keadaan ini menjejaskan pemakanan dan imuniti wanita serta kanak-kanak hingga mengakibatkan lonjakan kekurangan zat makanan akut,” katanya.

Laporan bersama yang dikeluarkan oleh WFP dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin lalu mendapati situasi itu berada di tahap melampau terutamanya di utara Gaza.

Pemeriksaan pemakanan yang dijalankan di pusat perlindungan dan kesihatan di utara mendapati lebih 15 peratus kanak-kanak di bawah umur dua tahun mengalami kekurangan zat makanan akut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang kebuluran yang meningkat mendadak di utara Gaza sejak Disember lalu yang turut mencetus penularan pelbagai jangkitan penyakit.

Tentera Israel mengarahkan 1.1 juta orang awam Palestin mengosongkan semua kawasan di utara Wadi untuk mencari perlindungan di selatan pada permulaan serangan daratnya Oktober lalu.

Kebanyakan penduduk mengikuti arahan tersebut, tetapi ratusan ribu lagi memilih untuk kekal kerana tidak dapat melarikan diri ketika tentera Israel mengepung wilayah itu sebelum menguasai sebahagian besar kubu kuat Hamas di sana.

Bulan lalu, Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) berkata, sekurang-kurangnya 300,000 orang yang tinggal di utara Gaza bergantung kepada bantuannya untuk kelangsungan hidup mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×