NGO disiasat FBI: Tidak ada terlibat isu keganasan - Saifuddin

NGO disiasat FBI: Tidak ada terlibat isu keganasan – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga pemimpin daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini yang disenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak terlibat dengan isu-isu keganasan berdasarkan semakan rekod keselamatan polis.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semakan secara teliti dilakukan sebelum kumpulan NGO berkenaan memulakan operasi mereka dalam Op Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza.

Jelasnya, kira-kira 359 individu terlibat membabitkan 53 kumpulan NGO dalam operasi tersebut.

“Sebelum operasi itu kita mulakan, tentunya kita membuat semakan supaya tiada masalah apabila mereka menjalankan operasi di sana (Gaza).

“Berdasarkan semakan kita, kesemua NGO yang terlibat dalam Ops Ihsan ini, rekod keselamatan kita iaitu rekod polis, tidak ada yang terlibat dengan isu-isu keganasan, maknanya ‘bersih’.

“Penegasan ini penting bahawa kita sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kita ada undang-undang dan ada agensi yang bertanggungjawab soal keselamatan serta mempunyai rekod yang kompeten dalam membuat tapisan,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Pada Sabtu, media melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Op Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setakat ini satu laporan polis diterima daripada koordinator operasi kemanusiaan itu susulan pendedahan tiga nama individu berkenaan yang disenarai dalam TSC.

“Setakat ini kita cuma terima satu laporan polis, bukan oleh tiga individu itu, tetapi koordinator mereka apabila nama-nama ini terdedah, maka mereka buat laporan dan polis akan memulakan siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pihak FBI, Saifuddin secara ringkas berkata apa yang perlu diutamakan ketika ini adalah keamanan dan kedaulatan negara.

“Kita terus dengan kaedah dan sistem kita, yang paling penting jaga keamanan dan kedaulatan kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×