MELAKA: Kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Mac ini daripada enam peratus kepada lapan peratus berpotensi menjejaskan kira-kira 27,653 ahli Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).
Presiden Perdasama, Mohd. Azamanizam Baharon berkata, bagaimanapun pihaknya melihat kenaikan itu dalam semua sektor sebagai satu keputusan yang telah diambil kira oleh kerajaan.
Menurutnya, ia perlu dilihat melalui mikro ekonomi lebih luas memandangkan hasrat kerajaan mengenakan kenaikan itu untuk mengembangkan ekonomi.
“Kenaikan ini sebenarnya memberi kesan kepada usahawan kita yang terpaksa menanggung kos tambahan dan sebagainya. Ia juga turut memberi kesan kepada pengguna.
“Sudah tentu daya saing pasaran mungkin boleh menjejaskan dan kami mengharapkan kerajaan apabila melaksanakan kenaikan SST nanti supaya mengambil kira apakah bantuan atau insentif yang boleh dikembalikan balik kepada komoditi perniagaan.
“Ini kerana dalam mana-mana negara luar kita sebagai golongan peniaga tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa ekosistem memandangkan perkembangan perniagaan yang dicorak dan digariskan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Perdasama dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini.
Tambah Mohd. Azamanizam, kerajaan juga wajar melihat kaedah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sebagai contoh mempermudahkan proses mendapatkan pensijilan halal.
Menurutnya, menjadi kekangan buat ahli Perdasama apabila menghadapi masalah untuk mendapatkan pensijilan halal bagi sesuatu produk makanan.
“Kerajaan sewajarnya meneliti semula proses permohonan sijil halal bagi industri makanan, agar prosedurnya dapat dipermudahkan, namun masih memenuhi piawaian halal yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN











