Ringgit teruskan trend penyusutan berbanding dolar

Ringgit teruskan trend penyusutan berbanding dolar, mata wang serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit meneruskan trend penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila dibuka lebih rendah dalam sesi awal dagangan hari ini.

Memetik laporan Bernama, ringgit telah susut kepada 4.7995/8050 berbanding penutupan semalam pada 4.7975/8000.

Penyusutan disebabkan dolar kekal stabil di sebalik hasil AS yang lemah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS lewat hari ini.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit akan terus diniagakan dalam mod berhati-hati, menjelang pengumuman indeks harga pengguna Malaysia pada Jumaat.

Katanya, semalam, mata wang tempatan secara ringkas mencecah 4.80 berbanding dolar AS, yang menghasilkan maklum balas Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan pasaran semasa.

Di negara jiran, Perdana Menteri Thailand telah meminta bank pusatnya mengurangkan kadar faedah penanda aras untuk menyokong ekonomi, manakala China telah mengejutkan pasaran dengan mengurangkan kadar utama pinjaman lima tahun lebih daripada jangkaan, daripada 4.20 peratus kepada 3.95 peratus.

“Oleh yang demikian, sentimen pasaran dijangka terkawal dalam tempoh terdekat, kerana pemain akan menilai arah mata wang pasaran sedang pesat membangun, memandangkan Rizab Persekutuan AS berkemungkinan menangguhkan pelonggaran monetarinya.

“Nampaknya latar belakang pasaran semasa memihak kepada dolar AS, memandangkan perbezaan kadar faedah yang luas,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah pada pembukaan hari ini berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.1988/2029 daripada 3.1926/1945 semalam, susut berbanding pound Britain kepada 6.0584/0654 daripada 6.0468/0499, dan jatuh berbanding euro kepada 5.1878 daripada 5.1878 /1826.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding baht Thailand kepada 13.3109/3324 berbanding 13.3016/3148 semalam, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5703/5746 daripada 3.5672/5693.

Mata wang tempatan itu juga susut berbanding rupiah Indonesia kepada 306.4/306.9 daripada 306.3/306.6, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.56/8.58 daripada 8.56/8.57 semalam. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×