SHAH ALAM: Selangor 99.65 peratus daripada peruntukan RM6.81 bilion untuk melaksanakan pembangunan termasuk menyelesaikan projek bermasalah yang dikategorikan sebagai lewat jadual sakit menerusi Rolling Plan Ke-3 (RP3) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Projek tersebut termasuklah 31.1 peratus atau 179 projek yang dilaksanakan seperti menaiktaraf unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang; Klinik Pergigian Tanjong Karang dan pembinaan Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Lama Batang Kali.
Sementara projek yang dikategorikan sebagai lewat jadual sakit adalah mengantikan dan melebarkan jabatan di atas Sungai Batang Kali, Hulu Selangor; bina baharu satu bilik darjah dan bilik darjah pra sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samat, Klang; pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Utama 2, Kuala Selangor dan projek gantian penuh dua bilik darjah pra sekolah serta kemudahan lain di SK Kebun Baharu, Telok Panglima garang.
Pejabat Pembangunan Negeri Selangor Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTNg) Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini turut meneliti Laporan Status Pelaksanaan Projek Meroboh Kafeteria dan Pembinaan Bangunan Asrama Tambahan Bertingkat bagi Lelaki dan Perempuan dengan kapasiti 500 orang, kafeteria Berkapasiti 400 orang dan Permohonan RP5 Selangor.
“Tambahan kepada itu, status pelaksanaan Pangkalan Data Utama Negara (PADU) dan Laporan Prestasi RP4 Tahun 2024 dan Laporan Prestasi RP3 Tahun 2023 Negeri Selangor turut dibincangkan.
“Usaha pemantauan projek pembangunan RMK12 di Selangor yang dipandu melalui Arahan No. 1 2023 Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara oleh JPM dipacu oleh dukungan Menteri Besar selaku Pengerusi MTPNg Selangor dilaksanakan sebanyak tiga kali termasuk program lawatan kerja pada 2023.
“Peranan signifikan MTPNg Selangor turut disokong oleh pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim juga dilaksanakan sebanyak lima kali pada tahun sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, melalui platform MTPNG, JTPNG dan JTPD, pemantauan dan intervensi terhadap projek pembangunan dan tumpuan diberikan kepada yang berstatus lewat jadual sakit di Selangor memberikan impak positif dan berjaya dilaksanakan mengikut jadual dan akhirnya disiapkan.
Peruntukan 753 sekolah dalam RP3
Malah, dalam RP3 itu juga, Selangor dilapor dapat merealisasikan hasrat Perdana Menteri dalam usaha menambah baik keperluan pelajar dalam melaksanakan projek naik taraf dan penyelenggaraan kecil institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 2023.
“Selangor diluluskan peruntukan sebanyak RM52.71 juta bagi pelaksanaan 753 sekolah melibatkan 203 sekolah dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak (92 sekolah), PDT Kuala Langat (60 sekolah) dan PDT Sabak Bernam (51 sekolah).
“Manakala 550 sekolah dilaksanakan oleh tujuh Pejabat Pendidikan Daerah. 753 kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil sekolah tersebut telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada November tahun lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, kenyataan sama memaklumkan Kerajaan Persekutuan terus komited dalam memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan di negeri ini menerusi RP4 yang diterjemahkan melalui pelaksanaan 564 projek pembangunan iaitu 463 projek baru manakala 101 butiran pula sambungan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.41 bilion bagi 2024.
“RP4 Selangor menumpukan kepada pembangunan 471 projek fizikal (RM2.25 bilion atau 65.8 peratus) melibatkan skop projek utama mencakupi kelengkapan, peralatan ICT dan bukan ICT, pembelian bangunan, pembinaan, pengurusan fasiliti, penyenggaraan, perolehan tanah serta penyelidikan.
“Manakala 93 butiran (RM1.17 bilion atau 34.2 peratus) pula merupakan projek bukan fizikal yang diluluskan bagi pembiayaan dana, program ICT, kajian dan program latihan.
Manfaat RP4 untuk sekolah daif
“Dalam RMK12, sebanyak lapan projek sekolah daif telah diluluskan dengan kos projek keseluruhannya bernilai RM60.144 juta. Daripada 8 projek sekolah daif tersebut, satu sekolah telah siap dilaksanakan dengan tarikh CPC pada 22 Ogos 2023.
“Projek sekolah daif ini akan memberi manfaat kepada seramai 9,580 murid di SK Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam; SK Rinching Hilir, SK Bangi dan SK Sungai Serai, Hulu Langat serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil,” katanya.
Bahkan, dalam RP4, sehingga 13 Februari lalu, Selangor mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak 8.39 peratus, dan capaian itu melepasi prestasi nasional iaitu 6.03 peratus.
“Projek yang dijangka siap pada tahun 2024 antaranya Pembinaan National Centre for Food Safety (NCFS) di Sepang; Projek Naik Taraf Hospital Kajang; Kem Wawasan Negara Tanjung Rhu, Sepang, Pembinaan Sekolah Baru 24 Bilik Darjah dan Lain-Lain Kemudahan SK Saujana Putra, Telok Datok, Kuala Langat.
“Penyiapan sekolah tersebut bakal memberi manfaat kepada 960 pelajar serta mengatasi cabaran kepadatan murid di kawasan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










