Selangor belanja RM7 juta baiki 8,000 skim rumah kos rendah - Utusan Malaysia

Selangor belanja RM7 juta baiki 8,000 skim rumah kos rendah

Rumah kos rendah
BORHAN Aman Shah ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Mekanisme Pemilikan Hartanah Harga Kawalan Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor memperuntukkan sehingga RM7 juta pada tahun ini bagi membaki kemudahan dan infrastruktur bagi 8,000 skim rumah pangsa kos rendah di seluruh negeri.

Peruntukan tersebut termasuklah bagi membaiki kerosakan lif, kebocoran tangki air, menyelenggara sistem kumbahan dan sebagainya yang akan dilakukan melalui Skim Ceria.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, di samping itu kerajaan negeri turut memperuntukkan tambahan RM500,000 lagi bagi penganjuran Rewang Komuniti Strata di lima kawasan yang bermula dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Sabtu dan Ahad ini.

Menurutnya, penganjuran tersebut adalah untuk memberi fokus kepada penyelesaian masalah kemudahan dan infrastruktur perumahan kos rendah yang dihadapi penduduk terutama bagi kediaman dibina lebih 20 tahun.

“Jadi, kalau kita lihat mungkin lif, tangki air, sistem kumbahan, cat bangunan dan sebagainya. Jadi Menteri Besar minta kita fokus supaya dapat perbaiki fasiliti agar lebih selesa.

“Itu adalah pelaksanaan yang kita akan teruskan melalui Skim Ceria, kita akan berbelanja pada tahun ini seperti yang sudah diperuntukkan RM7 juta dan saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin atas setiap apa jua yang dirancang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, selain peruntukan tersebut, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekiranya penyelesaian masalah tidak dapat ditampung oleh Skim Ceria.

Terdahulu, Borhan dalam ucapan perasmian Seminar Mekanisme Pemilikan Hartanah Harga Kawalan Selangor memaklumkan pemilikan hartanah di bawah kawalan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut diperluaskan kepada Rumah Selangorku sebagai penjualan sekunder atau sub-sales.

“Di peringkat awal, mekanisme pemilikan hartanah tertumpu kepada rumah kos rendah sahaja, namun bermula 2020 ia diperluaskan kepada hartanah lain termasuk Rumah Selangorku bagi menyeimbangi pengagihan rumah hartanah harga kawalan secara adil dan saksama.

“Selain itu, mekanisme pemilikan tersebut juga diyakini mampu menstabilkan harga pasaran hartanah dan mengurangkan spekulasi pasaran. Melalui mekanisme itu juga hartanah berharga RM250,000 ke bawah boleh ditawarkan serta dimiliki golongan sasar seperti ditetapkan kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×