PADANG BESAR: Cubaan kali pertama seorang pelajar berusia 16 tahun menyeludup daun ketum ke negara jiran dengan upah serendah RM10 satu trip gagal apabila dia ditahan ketika melalui pemeriksaan kenderaan di laluan keluar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian, di sini, Khamis lalu.
Lebih menarik, kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max RZAE-TC itu diubah suai menyerupai kenderaaan seolah-olah seperti dalam filem ‘transformers’ yang boleh terbuka di bahagian di belakang yang mempunyai ruangan tersembunyi.
Dalam pemeriksaan sekitar pukul 11 pagi itu, anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Penguatkuasa Padang Besar telah menemukan beberapa bungkusan berisi ketum yang disembunyikan di bahagian bonet hadapan, ruangan tersembunyi di belakang dan juga dalam kenderaan tersebut.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, anggaran berat keseluruhan daun ketum yang dirampas dianggarkan sekitar 230 kilogram dengan nilai sekitar RM2,300.
Katanya, semua bungkusan daun ketum itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran bersama-sama kenderaan pacuan empat roda yang dianggarkan bernilai RM110,000.
“Berdasarkan siasatan awal, pelajar itu dipercayai mengambil bekalan daun ketum berkenaan dari Naka, Kedah untuk diseludup keluar bagi pasaran negara jiran susulan mendapat permintaan pasaran tinggi di sana.
“Pelajar terbabit juga mendakwa dia melakukan percubaan kali pertama bagi menyeludup daun ketum tersebut dan mendapat bayaran RM10 untuk satu trip perjalanan. Permintaan ketum dari Malaysia dikatakan semakin mendapat permintaan tinggi di Thailand berikutan tanaman itu tidak menjadi di sana.
“Selain itu, kenderaan digunakan suspek juga telah diubahsuai bagi menggelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Setor Rampasan JKDM Padang Besar, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, JKDM juga tidak menolak kemungkinan remaja berkenaan turut dibantu pihak lain bagi menjalankan kegiatan tersebut.
Katanya, suspek terlibat juga telah dijamin oleh bapa saudaranya dengan bayaran berjumlah RM10,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau keduanya,” katanya.-UTUSAN










