SUNGAI PETANI: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) 12 produk berasaskan makanan ke Arab Saudi yang dijangka berada di pasaran negara itu, bulan depan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fatah Abdullah berkata, produk makanan tersebut merupakan keluaran empat syarikat usahawan MyGerak bernilai RM489,000.
“Ini merupakan penghantaran pertama produk-produk syarikat tempatan yang merupakan ahli MyGerak dan saya berharap akan ada susulan kerana negara ini boleh menjadi ‘gateway’ ke rantau Timur Tengah.
“Permintaan produk Malaysia di sana tinggi, ramai rakyat Malaysia ke sana mengerjakan haji dan umrah, itu belum termasuk yang bekerja dan menetap di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Flag Off’ Kontena Pertama MyGerak ke Arab Saudi di Dc KuGerak dekat sini, hari ini.
Katanya, produk dari negara ini turut diterima baik oleh masyarakat Muslim dari negara lain yang berada di Arab Saudi contohnya Indonesia.
“Ia sekali gus mewujudkan potensi yang luas untuk mengeksport produk dari Malaysia ke sana,” ujarnya.
Jelasnya, selain Arab Saudi, pihaknya sebenarnya sudah menghantar produk koperasi ke China pada Januari lalu melibatkan ahli dan bukan ahli MyGerak dengan penghantaran kedua dijangka dibuat pertengahan tahun ini.
Tambahnya, pihaknya juga sedang giat mempromosikan dan memperluaskan produk koperasi ke banyak negara sehingga ke Jepun dan Korea, tahun ini. -UTUSAN











