PETALING JAYA: Zantat Holdings Berhad (Zantat) memeterai perjanjian taja jamin dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Zantat dalam kenyataan berkata, tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan Terbitan Awam sebanyak 56.0 juta saham baharu (saham terbitan), mewakili 20.0 peratus modal saham diperbesarkan Zantat dan Tawaran bagi Jualan sebanyak 16.8 juta saham sedia ada secara Penempatan Persendirian kepada pelabur terpilih.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 14.0 juta saham terbitan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia secara cabutan undi manakala sebanyak 11.2 juta saham terbitan untuk Para Pengarah, kakitangan dan orang perseorangan berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan Zantat Group di bawah Peruntukkan Borang Merah Jambu.
“Baki 30.8 juta saham terbitan dikhaskan untuk Penempatan Persendirian kepada pelabur terpilih,” katanya.
Tambahnya, menurut Perjanjian Taja jamin itu, M & A Securities akan menaja jamin sejumlah 25.2 juta saham terbitan yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukkan Borang Merah Jambu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Zantat, Ivan Chan berkata, proses IPO tepat pada masanya bagi Syarikat kerana ia akan membolehkan Zantat meraih akses kepada pasaran modal Malaysia bagi menjana dana untuk pelaksanaan pelan perluasan dan bagi menyokong pertumbuhan berterusan Syarikat.
“IPO itu akan menyaksikan kami merealisasikan rancangan untuk mengembangkan aplikasi produk kalsium karbonat tanah kami kepada industri kebersihan dan pembungkusan plastik yang bernilai tambah tinggi,” katanya.
Beliau berkata, Kumpulan mempunyai pelbagai rangkaian produk kalsium karbonat dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pergerakan global dalam pembuatan plastik mampan dan lebih mesra alam dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Sementara itu, Pengarah Urusan M&A Equity Holdings Berhad, Datuk Bill Tan, kalsium karbonat biasanya digunakan sebagai bahan pengisi dalam industri pembuatan plastik dan produk getah yang menyaksikan pertumbuhan pesat dan stabil di Malaysia dan India, kedua-dua pasaran yang Zantat memiliki kekuatan.
“Zantat pastinya berada pada kedudukan yang sangat berfaedah dalam memenuhi keperluan daripada pelbagai jenis industri pada masa hadapan seiring dengan hakikat bahawa Syarikat secara geografi berada dalam pasaran di mana segmen ini berkembang maju.
“Terdapat begitu banyak potensi untuk industri ini dan dengan itu begitu banyak potensi untuk Zantat,” tambahnya.
M & A Securities merupakan Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut.
Zantat merupakan satu daripada pengeluar terbesar produk kalsium karbonat gred tinggi di rantau ini dengan sejarah operasi selama 39 tahun di Malaysia.
Melalui anak syarikatnya, Zantat terlibat terutamanya dalam pengeluaran produk kalsium karbonat iaitu kalsium karbonat tanah dan penyebaran kalsium karbonat. – UTUSAN








