LANGKAWI: Tiga lelaki tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis selepas dipercayai cuba menyeludup 6,000 liter minyak diesel di kedudukan 0.6 batu nautika, Utara Pulau Langgun, malam tadi
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, bot pukat tunda kelas C dinaiki tiga nelayan terbabit sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan satu ruang asing yang dibuat di atas bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.
“Anggota penguat kuasa membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.
“Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak 6,000 liter dengan nilai hampir RM13,000. Justeru, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 32 hingga 40 tahun itu ditahan bersama bot untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memiliki barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.
“Pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Tambah Romli, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.
Katanya, orang ramai dialu-alukan membuat aduan sama ada sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-9662750. -UTUSAN










