TANAH MERAH: Seorang remaja berketurunan Cina meneruskan tradisi keluarganya yang memilih untuk berkhatan sebagaimana dilakukan oleh orang Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Koh Min Zhe, 13, berkata, dia teruja dapat berkhatan bersama rakan-rakan beragama Islam melalui Program Khatan Perdana sekali gus mengikut jejak langkah keluarga sejak dahulu lagi.
“Pada mulanya saya kurang yakin dan agak takut untuk berkhatan tetapi selepas ayah cerita mengenai kelebihan amalan itu, saya jadi berminat untuk melakukannya.
“Saya tidak fikir apa-apa sebelum tiba hari untuk berkhatan dan menjalani aktiviti harian seperti biasa,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, bapanya, Koh Eyo Lee, 49, mengakui berkhatan menjadi amalan turun-temurun keluarganya, namun dia tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk turut sama menuruti amalan itu.
Katanya, amalan tersebut dilakukan oleh anak-anaknya secara rela hati tanpa paksaan daripada sesiapa. – UTUSAN










