Ibu Zayn Rayyan terus harap pelaku ditangkap

Ibu Zayn Rayyan terus harap pelaku ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, kanak-kanak yang ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh di anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, Disember lalu masih berharap pelakunya ditangkap satu hari nanti.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, walaupun hampir tiga bulan kejadian tersebut berlaku, sehingga ke hari ini dia masih trauma melihat apartment terbabit iaitu lokasi terakhir anak sulungnya dilihat sebelum hilang.

“Saya sangat trauma dengan apartment dan kawasan itu. Walaupun hanya melihat gambar, saya tetap rasa trauma.

“Kadangkala bila terlintas di fikiran tentang gambaran kawasan tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan, sudah cukup buat saya rasa sedih. Tidak tahu sampai bila perasaan ini boleh hilang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kata Ismanira, dia masih sakit hati dengan tindakan pelaku yang bebas di luar sana sehingga sanggup memperlakukan anak istimewanya dengan kejam.

Malah, dia sentiasa mendoakan pembunuh hidup dalam keadaan tidak tenteram sehingga menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, dia sekeluarga sangat berharap pelaku tersebut dapat ditangkap secepat mungkin dan diberikan hukuman yang berat atas kesalahan yang tidak berperikemanusiaan itu.

“Saya sentiasa berdoa agar pelaku tersebut hidup dalam keadaan tidak tenteram setiap masa, kepanasan, gelisah dan dihantui dengan perkara yang telah dia lakukan sehingga dia menyerah diri kepada polis.

“Cepat atau lambat, Insya-Allah semoga satu hari nanti tertangkap juga akhirnya. Saya menyeru agar semua membantu mendoakan, agar keadilan buat Zayn Rayyan dapat ditegakkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×