ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan pencemaran Sungai Air Merah menghala ke Sungai Kulim di Kulim dipercayai akibat aktiviti penternakan khinzir di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, pihaknya menerima maklumat pencemaran itu melalui sistem Notification of Pollution Event (NPE) Tahap Satu pada pukul 11 pagi, Jumaat lepas.
“Maklumat bacaan bagi parameter Ammoniakal Nitrogen (NH3-N) yang direkodkan adalah 2.91152 miligram seliter (mg/l) dan melebihi had yang ditetapkan.
“Sepasukan pegawai penyiasat dari JAS Kedah (Cawangan Kulim) kemudiannya digerakkan bagi mengesan punca pencemaran pada 16 dan 17 Februari. Semakan rekod inventori dan siasatan di lapangan meliputi kawasan hulu Sungai Kulim kemudiannya dijalankan.
“Pasukan penyiasat kemudiannya mendapati bahawa terdapat aliran air berwarna hitam dari Sungai Air Merah yang memasuki Sungai Kulim,“ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pasukan penyiasat menyusuri Sungai Air Merah dan melakukan pemantauan menggunakan dron di sepanjang sungai terbabit untuk mengenal pasti punca pencemaran.
“Pemantauan melalui dron dijalankan di sepanjang Sungai Air Merah berjaya mengesan punca pelepasan air hitam tersebut.
“Pelepasan air hitam disyaki berpunca dari pelepasan air sisa dari aktiviti penternakan khinzir di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang,” ujarnya.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penternakan khinzir mendapati terdapat beberapa kolam yang melepaskan air sisa ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.
“Jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah hingga Sungai Kulim adalah tiga kilometer (km). Terdapat Loji Rawatan Air (LRA) Toh Allang di Sungai Kulim yang membekalkan air bagi Pulau Pinang. Loji ini terletak kira-kira 7km dari pertemuan kedua-dua sungai itu,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada JAS Pulau Pinang untuk tindakan lanjut pihak berkuasa negeri itu seperti Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang.
“Semua pihak digesa untuk tidak mencemarkan sungai kerana pencemaran boleh menyebabkan loji air ditutup dan menjejaskan bekalan air,” tambahnya.







