KANGAR: UMNO tidak mempunyai sebarang perancangan mahupun usaha bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) biarpun Pas terbuka untuk menerima parti itu sekiranya mereka tidak bersama DAP.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jika bersama Pas, parti itu tidak akan mempunyai peluang lagi di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.
Beliau berkata, Pas pastinya akan mengekalkan kerusi-kerusi dimenangi mereka walhal parti Islam itu sendiri merampas kawasan berkenaan dengan menewaskan UMNO.
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kami pernah offer (tawarkan) pada Pas tapi mereka tolak, itu semua orang tau.
“Bermula dari situlah, bayangkan kalau Pas terima (tawaran kerjasama UMNO), politik Malaysia akan jadi lain, tapi mereka yang menolak,” katanya ketika ditemuibselepas Majlis Sembang Santai di Ants Hotel Bintong, di sini, hari ini.
Kebelakangan ini, sudah mula kelihatan percanggahan antara UMNO dan DAP membabitkan beberapa isu termasuk terbaharu berkaitan cadangan supaya Kampung Baru Cina di Selangor mendapat status Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, harapan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin agar tindak-tanduk pemimpin DAP yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan menguris hati umat Islam diharap membuka mata UMNO untuk kembali bersama Pas menghidupkan semula MN.
Hashim dilaporkan berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima UMNO dengan parti berkenaan perlu meninggalkan DAP.
Terdahulu, dalam ucapannya sewaktu majlis berkenaan, Ahmad berkata, dalam dinamika politik yang berubah pada masa kini, UMNO perlu bersama-sama dengan parti yang mendapat sokongan majoriti kaum-kaum tertentu.
“Kita tak boleh padamkan kenyataan sokongan (kepada DAP) itu bermula pada 2008 apabila kita mula kalah dua pertiga, di sambung pula dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), PRU14 dan PRU15 juga masyarakat Cina masih secara majoriti menyokong DAP.
“Itu hakikat yang kita kena pegang sebagai satu dinamika politik, kalau salah langkah kita akan hilang sokongan pengundi Cina. Namun dalam bersahabat, kalau kawan silap tak semestinya tak boleh tegur dan kita kena tegas supaya mereka tak lagi tersilap,” katanya.-UTUSAN











