PETALING JAYA : Ahli perniagaan, Mirzan Mahathir diberikan tempoh 30 hari lagi bagi membolehkan beliau untuk mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, ahli perniagaan berkenaan telah meminta lanjutan bagi mengisytiharkan harta termasuk aset alih dan tidak alih dimilikinya.
Kata beliau, lanjutan itu hanya diberikan kepada Mirzan manakala adiknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir masih perlu mematuhi notis yang diserahkannya mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
“Ya kami benarkan lanjutan 30 hari lagi. Lanjutan itu diberikan kepada Mirzan sahaja, manakala Mokhzani rasanya tak ada lagi (tempoh lanjutan),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada 18 Januari lalu, SPRM dilaporkan menghendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.
Selepas beliau, abangnya, Mokhzani turut diberikan satu perintah notis yang menghendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara pada 26 Januari lalu.
Siasatan yang dilakukan oleh SPRM di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Untuk rekod, Mirzan disiasat SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kedua-dua anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dipanggil SPRM berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir. – UTUSAN











