Alahai, sukarnya mencari jodoh zaman sekarang - Utusan Malaysia

Alahai, sukarnya mencari jodoh zaman sekarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG zaman dahulu, tiada teknologi yang canggih untuk memudahkan perhubungan antara satu sama lain, namun, jodoh mereka tetap mudah.

Berbekalkan kenyit mata, menghadiahkan sekuntum senyuman, membuka bicara manis bagaikan bertanam tebu di tepi bibir dan bertukar-tukar alamat rumah, ia boleh menjadi lesen besar untuk bersahabat serta meneruskan peringkat perhubungan yang seterusnya.

Malah, banyak surat cinta berbekalkan haruman bedak talkum wangi menjadi trend perkenalan pada zaman dahulu. Itu adalah taktik membeli jiwa sebelum ke gerbang perkahwinan, namun taktik lapuk itu kini hanya tinggal kenangan.

Bercerita pada tahun 70-an dan 80-an, dengan kemudahan komunikasi yang terhad, perkenalan di antara teruna dan dara tetap terjalin dan hanya gambar ditatap sebagai pengubat rindu, bergayut di telefon awam dan akhirnya ke jenjang pelamin.

Di mana mereka berkenalan? Selain berkenalan dari segmen Kembang Setaman dalam majalah-majalah hiburan, perkenalan juga boleh berlaku sejak dari bangku sekolah atau di tempat kerja. Malah, ia boleh datang dari mana-mana pun.

Berselisih bahu ketika menaiki bas mini di ibu kota Kuala Lumpur juga boleh membawa kepada jodoh.

Jika diimbas kembali kira-kira 30 hingga 40 tahun lalu, agak sinonim untuk melihat adegan anak-anak dara yang menunggu di beranda rumah bagaikan tidak sabar menunggu posmen menghantar surat daripada si dia saban hari.

Kisah sebegini bukan hanya dalam filem saja, tetapi berdasarkan kisah benar pengalaman saya sendiri sebagai adik lelaki paling kecil. Ini cerita benar dan ya, hampir semuanya berakhir dengan perkahwinan.

Tetapi sekarang, dengan kecanggihan teknologi dan ketelusan media sosial, sepatutnya proses perkenalan untuk mencari pasangan adalah lebih mudah. Zaman yang boleh membuat panggilan video dan mendengar suara. Sambil baring atas katil pun boleh berkenalan di alam maya. Namun, realitinya tidak semudah yang disangka.

Facebook, Instagram, platform X dan Tik Tok merupakan medium yang sangat mudah didekati dan mengenali seseorang dengan lebih dekat. Ditolak dengan penggunaan filter yang maha hebat, namun, peluang untuk berkenalan sebenarnya lebih luas jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang serba tiada.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ramai sebenarnya dalam kalangan rakan saya yang mendapat jodoh daripada ‘pertemuan’ dalam media sosial dan mereka kini bahagia.
Cuma timbul persoalan kecanggihan teknologi masa kini dilihat kurang membantu urusan manusia mencari pasangan, sebaliknya menyulitkan. Mengapa?

Saya ingin memetik laporan berita dari Singapura baru-baru ini. Dikatakan ramai golongan bujang di republik itu mendapatkan perkhidmatan bantuan profesional untuk mencari jodoh pada waktu ini.

Lapor Channel News Asia, agensi janji temu berkenaan mengaitkan peningkatan permintaan perkhidmatan itu berikutan lebih ramai mahu pendekatan yang lebih tersu­sun dan boleh dipercayai untuk bertemu pasangan mereka.

Malah, jelas agensi itu, apa yang mengejutkan adalah individu seawal usia 20-an turut menyumbang kepada lonjakan pelanggan tersebut.

Sebuah agensi janji temu menyatakan pihaknya menyaksikan pertambahan sebanyak 30 peratus dalam jumlah pendaftaran dan pertanyaan sepanjang dua tahun lalu, dengan ramai ahli baharu dari seawal usia 21 tahun.

Bagaimanapun, saya amat berharap isu yang diutarakan pada minggu ini tidak menyinggung hati mana-mana pihak. Ia sekadar pandangan.

Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×