“SERONOK juga ya, dah lama tak berbual seperti ini.”
Demikian kata pelakon berusia 23 tahun ini usai sesi fotografi yang berlangsung di studio Media Mulia tempoh hari. Riak wajahnya kelihatan berbeza.
Tidak seperti sewaktu kakinya melangkah masuk ke studio kami pada awalnya. Wajah Meerqeen ketika sedang ditemu bual, kelihatan lebih tenang dan ceria.
Saban waktu, dia malah kelihatan sangat selesa berbual panjang dengan sesekali terbuka bercerita perihal diri yang tidak dapat ditulis semuanya di sini demi menghormati permintaan kecil daripadanya.
Bagaimanapun, satu hal yang tidak dinafikan aktor muda ini, begitu banyak pandangan menjengkelkan yang diterima hanya kerana dia memiliki riak wajah yang pegun.
Lalu, secara prejudis, Meerqeen dilabel sebagai seorang artis yang sombong. Hakikat itu diterima dengan reda oleh pelakon ini kerana baginya, selangkah kedua-dua kakinya memasuki industri seni, tiada ruang untuknya berpatah kembali.
“Boleh dikatakan, sekarang ini saya kerap memakai ‘topeng’. Malah saya percaya, dalam hidup ini pun kita semua pakai topeng. Orang kata kita kena ‘fake it to make it’. Tetapi saya punya terma dah lain sekarang, ‘i make it but i need to fake it’.
“Saya dah sampai di tahap ini baru saya plastik. Itu saya akui dan terpaksa buat. Sebabnya, saya tak tahu mana yang suka atau tak suka saya. Demi Tuhan, kenapa saya sekarang banyak berdiam, sebab saya sudah berikan terlalu banyak paparan wajah sebenar saya sebelum ini kepada umum.
“Dulu, saya banyak senyum, banyak layan orang dengan baik, tapi tak tahu orang yang kita jumpa itu pembenci atau penikam kita,”katanya.
Akui pelakon ini, sombong bukanlah sikap sebenar dirinya. Namun, hati kecilnya begitu bimbang jika layanan baik yang diberikan adalah pada individu yang salah.
“Pernah saya lalui satu situasi di mana, saya layan orang dengan baik dengan menjadi diri sendiri dan melayan permintaannya untuk bergambar. Kemudian saya ternampak satu ciapan daripadanya di Twitter, gambar yang dimuat naik itu disertakan dengan kata-kata yang menyedihkan mengenai saya.
“Dari situ, saya sedar, dah tak boleh berikan 99 peratus wajah sebenar kita pada orang. Cukup cuma separuh daripadanya. Ia membuatkan saya terfikir, mengapa orang tergamak menganggap saya begitu dan begini sedangkan saya tak pernah ganggu atau buat salah pada mereka?”katanya.
Kongsi Meerqeen, dia reda mendakap segala pandangan negatif orang ramai terhadap dirinya jika ia benar sebuah harga yang harus dibayar atas nama seorang anak seni.
Ini kerana, katanya, sudah tiada daya baginya untuk menghalang segala pandangan orang hinggakan mungkin jika bernafas untuk hidup pun dilihat salah dimata orang.
“Pada peringkat sekarang, apa pun yang saya buat tetap akan dilihat negatif.Jadi saya fikir, baik saya hidup untuk diri dan keluarga sahaja. Maka saya pilih untuk pakai ‘topeng’. Jujur cakap, saya dah penat,”katanya.

Gembira tetapi depresi
“Saya gembira. Saya menikmati hidup sebagai seorang anak seni tetapi harus diakui, saya juga terlalu depresi dengannya,”kata Meerqeen.
Memintanya untuk melanjutkan maksud tersebut, sambung Meerqeen, kerjaya yang diceburinya ini datang dengan pakej persekitaran yang terpaksa dihadapinya meski suka atau tidak.
Mengakui bahawa saban hari sering berdepan dengan gosip dan cerita negatif, segala yang dilakukan sebagai seorang ‘Meerqeen’ kini, tetap dipandang salah dan tidak baik di mata si pemerhati.
“Saya makan salah, senyum salah, saya hidup pun salah. Memang saya dah bersedia untuk menerima semua ini sewaktu nekad memilih kerjaya ini. Saya amat memahami bila mana, 10 orang suka akan ada 100 orang pula yang membenci.
“Kita memang tak boleh nak puaskan hati semua orang, bahkan adakalanya kita gagal juga nak puaskan hati keluarga sendiri. Jadi, bila ada orang buat cerita negatif mengenai saya, sekarang saya sampai tahap baca dan gelak sahaja.
“Hanya keluarga dan orang terdekat sahaja tahu siapa diri sebenar saya. Bayangkan, hampir 60 peratus hari saya pada setiap hari semuanya terpalit dengan negativiti termasuk komen dan sebagainya.
“Bayangkan juga jika saya tak kuat? Kalau kita ini tak ada agama, agaknya sudah lama saya dah tiada di sini,”katanya.
Keadaan itu, jelas Meerqeen, secara tidak langsung menjadi punca dirinya tertekan hingga menyebabkan dia akhirnya memilih untuk memperlahankan caranya bersosial. Lebih tepat, meletakkan had dalam privasi hidupnya buat masa ini.
“Jujurnya, saya pun tak mahu semua negativiti itu berlaku sebab tahu, orang yang paling terjejas adalah ibu saya. Dia tahu apa yang anak dia buat dan kebanyakan waktu, anaknya yang ini ada sahaja di rumah.
“Naluri seorang ibu, adakalanya rapuh jika dapat tahu orang bercerita buruk mengenai anaknya. Jadi, saya sering berpesan kepada mama supaya tidak membalas komen-komen tersebut. Saya tak kisah orang sentuh saya, tetapi jangan babitkan keluarga sahaja,”katanya.
Mengakui penat mengharungi perjalanan penuh liku sepanjang 23 tahun kehidupan ini, Meerqeen, sedar dia juga seorang manusia yang tidak mampu menangkis rasa ‘sakit’ dan sedih apabila terpaksa berdepan dengan sepak terajang dunia seni.
“Penat gila! Orang lain hanya nampak yang indah-indah sahaja. Orang tak tahu, setiap hari ia menyakiti saya. Sebagai seorang manusia kerdil, saya juga menangis kerana tiada pilihan lain selain menjadi kuat.
“Kalau saya putus asa sekarang, untuk apa saya bina kerjaya selama lima tahun ini?

Serius dalam pekerjaan
Mengenai kerjaya, dia yang baharu sahaja selesai penggambaran filem Framed untuk tayangan Astro Premier lega kerana berjaya melunaskan satu tanggungjawab besar yang memberi kepuasan buatnya.
Malah, demi menjayakan watak Edi dalam filem arahan Sein Qudsi ini, Meerqeen, sanggup membuat persiapan rapi selama tiga bulan termasuk menjalani latihan seni bela diri bagi mempamerkan aksi yang meyakinkan untuk naskhah ini.
Mengakui bahawa dirinya seorang aktor yang mengambil serius dalam setiap tanggungjawab yang diberikan, kata Meerqeen, dia terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai visi dan misi untuk mengangkat penggiat seni tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Tak kisah dalam aspek lakonan, filem, drama atau terlibat dalam jenama-jenama dari luar, saya terbuka untuk memberi peluang kepada diri sendiri meneroka potensi. Sebab itu, kalau saya dapat peluang ke luar negara untuk menjayakan sebarang kerja termasuk pergi ke acara-acara tertentu, saya akan buat dengan baik.
“Saya pergi dan jalin hubungan baik dengan pihak luar. Kita tidak boleh selamanya cuma menjadi jaguh kampung. Kita kena cuba lebarkan sayap ke luar juga dengan melakukan hasil kerja yang bagus dan ada kualiti.
“Jika ada peluang itu, atas diri anda sama ada nak ambil atau tidak. Niat saya masuk industri ini bukan sekadar dalam industri sahaja. Saya tak nak ‘mati’ dalam ini sahaja. Biarlah saya mati suatu hari nanti, orang luar pun kenal.
“Itu adalah satu daripada perjuangan gelombang baharu daripada pelapis-pelapis muda yang ada sekarang ini. Kita boleh ubah dan pasti boleh,”katanya.










