PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan menapis senarai panjang calon ketua jurulatih hoki kebangsaan setelah permohonan untuk jawatan itu yang dibuka sejak 5 Februari lalu berakhir semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah menjelaskan, dia tidak dapat memberi gambaran penuh jumlah permohonan yang diterima, namun mendedahkan jumlah permohonan jurulatih luar negara melebihi jurulatih tempatan.
Kesemua permohonan itu akan disaring oleh Jawatankuasa Kejurulatihan pada Selasa depan, dan kemudian calon yang berjaya akan dipanggil untuk sesi temuduga.
“Saya tidak dapat memberi jumlah sebenar permohonan yang yang diterima kami (MHC), cuma yang boleh saya katakan, permohonan dari luar negara adalah lebih ramai, dan jurulatih tempatan tidak ramai.
“Hari ini (semalam) dah tutup permohonan, Selasa ini kita akan terus bersidang dan menyenarai pendek calon yang berkelayakan. Apa pun semuanya akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini,” jelas Majid kepada Utusan Malaysia.
Kontrak pengendali sebelum ini, Arul Selvaraj dan barisan kejurulatihannya telah pun tamat sejurus selepas tamatnya kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 tamat 21 Januari lalu.
Susulan itu, skuad kebangsaan yang dibimbingnya juga telah pun dibubarkan bagi membolehkan pasukan yang baharu dapat dibentuk semula mengikut acuan jurulatih yang baru.
Tugasan pertama yang akan dipikul jurulatih baharu itu adalah Piala Sultan Azlan Shah 2024 yang akan berlangsung Mei ini, yang menyaksikan Malaysia bakal turun sebagai penyandang juara. – UTUSAN










