PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelaburan pertama di bawah strategi Dana Perintis berjumlah RM100 juta, terdiri daripada dua pelaburan langsung dalam syarikat permulaan Malaysia dan dua komitmen dana modal teroka (VC).
KWAP melabur dalam dua syarikat yang berpotensi iaitu Bateriku (M) Sdn. Bhd. dan Lapasar Sdn. Bhd. untuk terus menyokong rancangan pertumbuhan dan pengembangan mereka.
“Bateriku ialah penyedia perkhidmatan automotif yang berkembang pesat dengan rangkaian rakan kongsi di seluruh negara, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan rangkuman kewangan.
“Sementara itu, Lapasar ialah pasaran borong dalam talian yang memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan industri barangan pengguna cepat laris (FMCG), mempercepatkan penggunaan pendigitalan di seluruh ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Selain itu, KWAP juga telah membuat komitmen kepada dua dana VC, iaitu Vynn Capital, sebuah dana tempatan yang melabur dari peringkat benih dengan tumpuan pada sektor mobiliti dan rantaian bekalan.
Turut menerima dana adalah Antler, VC peringkat awal yang paling aktif di dunia daripada pra-benih kepada Siri A dan seterusnya.
Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pelaburan tersebut menandakan komitmen KWAP untuk mengiktiraf dan memupuk idea-idea inovatif selaras dengan inisiatif Ekonomi Madani.
“Kami yakin dengan prospek dan potensi pelaburan dalam empat entiti ini dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan mereka, menambah nilai dan memberikan sokongan KWAP untuk memastikan kejayaan mereka,” ujarnya.
Dilancarkan pada September 2023 dengan sasaran penempatan dana sebanyak RM500 juta, Dana Perintis direka untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem peringkat awal Malaysia sambil menjana pulangan yang kukuh untuk benefisiari melalui pelaburan dalam syarikat permulaan dan dana VC.
Empat pelaburan itu juga selaras dengan enam bidang tumpuan Dana Perintis, iaitu ekonomi digital, rangkuman kewangan, keselamatan makanan, pendidikan, ekonomi perak dan perubahan iklim. – UTUSAN










