SEGAMAT: Monumen Kemahkotaan Johor di Dataran Batu Hampar atau lebih dikenali sebagai Rock Garden di sini, menjadi antara mercu tanda baharu yang menarik kehadiran pengunjung ke daerah ini.
Menurut Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Mohd. Helmi Sha’ri @ Shangari, laman yang dibina dengan keluasan 725 meter persegi sejak Ogos tahun lalu itu membabitkan kos peruntukan berjumlah RM4.8 juta.
“Pembangunan ikon monumen Kemahkotaan Johor itu tersergam indah di lokasi lereng bukit berhadapan Istana Hinggap di Dataran Batu Hampar, Segamat.
“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut memperkenan menamakan monumen ini sebagai Monumen Kemahkotaan yang dibangunkan dengan kepakaran Jabatan Kerja Raya (JKR), Segamat,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, di sini semalam/
Monumen tersebut turut dibina dengan kolam air pancut dan empat laras senapang berukuran besar yang bakal menjadi mercu tanda di bandar ini.
Ia terletak di kawasan strategik, selain menjadi lokasi kepada masyarakat setempat untuk beriadah, bersantai bersama keluarga dan merakam gambar,” katanya.
Tambah Mohd. Helmi, masyarakat setempat dinasihatkan supaya menjaga kebersihan, selain bekerjasama memelihara seni bina unik yang dipamerkan di kawasan itu.
MPS turut menempatkan anggota penguat kuasa dan kerjasama pihak polis sepanjang masa terutama pada waktu malam bagi memastikan kebersihan juga keselamatan terpelihara.
“Ia sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati keindahan dan keceriaan di sini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung Fatimah Abdullah, 63, berkata, pembinaan monumen tersebut menjadi kebanggaan warga Segamat yang sememangnya dekat dengan institusi Diraja Johor.
“Mercu tanda ini memberi gambaran gahnya institusi pertahanan serta kesultanan Johor di daerah ini secara tidak langsung,” kongsinya. – UTUSAN










