TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Saya kira itu pepatahpaling sesuai untuk menggambarkan pelukis yang
seorang ini.
Pelukis kontemporari, Karwai Chan tidak lahir daripada keluarga senang, apatah lagi mengikuti pendidikan seni secara formal, namun beliau kini bergelar pelukis bertaraf antarabangsa.
Bukan hanya melukis di kanvas, wanita berusia 27 tahun ini juga merupakan pelukis kontemporari yang boleh melukis pada kereta.
Ketika usianya baharu menjangkau 24 tahun, beliau sudah dilamar oleh jenama kereta terkemuka dunia, McLaren yang mahu sentuhan magisnya menghiasi kereta keluaran jenama tersebut.
Bagai bulan jatuh ke riba, sudah tentu lamaran itu diterima dengan penuh gembira sekaligus menjadi titik tolak kepada perkembangan kerjayanya pada hari ini.
“Ia adalah keputusan paling berani yang pernah dilakukan untuk mengecat atau melukis terus pada kereta.
“Saya gembira dan amat teruja kerana saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan saya percaya ia akan membantu saya mengembangkan bakat dengan lebih jauh,” katanya kepada Seri.

Pada projek berkenaan, Chan menghasilkan lukisan motif gelombang Jepun yang berasaskan warna putih dan juga biru pada McLaren GT.
Katanya, dia menghabiskan masa siang dan malam selama dua minggu untuk menyiapkan lukisan berkenaan yang dikenali sebagai Ride Every Waves.
“Masa itu McLaren beri saya sebiji kereta berwarna putih. Bila nampak warna itu buatkan saya terfikir pasal porselin, jadi saya melukis beberapa gelombang Jepun di atasnya.
“Saya dapat bayangkan ia akan menjadi kereta porselin seni yang cantik. Mengambil masa selama dua minggu siang dan malam untuk mengecat kerana saya melakukan banyak lapisan. Perlu menunggu warna kering lapisan demi lapisan,” kongsinya.
Selain McLaren, anak kelahiran Ipoh, Perak ini turut bekerjasama dengan Ferrari dan Formula 1 (F1).
Katanya, kolaborasi beliau bersama Formula 1 pada tahun 2022 bermula apabila beliau banyak menerima tawaran untuk melukis pelumba dan kereta pada tahun-tahun sebelumnya.
“Kalau ditanya mengenai perbezaan antara lukisan atas kanvas dan atas kenderaan, perbezaannya ialah daripada segi saiz dan tekstur.
“Tetapi saya lebih teruja untuk melukis di atas objek yang besar dan sentiasa berharap untuk melakukannya lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

DUA minggu masa diambil untuk menyiapkan lukisan pada kenderaan, Ride Every Waves ini.
BIJAK ATUR STRATEGI
Chan menyifatkan dirinya sebagai bertuah, namun baginya tuah itu datang seiring dengan kebijaksanaan.
Manakan tidak, ketika membuat keputusan untuk bergelar pelukis sepenuh masa 16 tahun lalu, beliau sudah mempunyai strategi tersendiri.
Setiap lukisan yang dihasilkan dimuatnaik ke dalam akaun media sosialnya yang diikuti ratusan ribu pengikut.
Ia bertujuan untuk memasarkan dirinya sebagai pelukis era baharu secara dalam talian supaya ramai yang dapat melihat hasil seni dan kebolehannya.
Jadi, tidak hairanlah jenama-jenama besar peringkat antarabangsa mula ‘mengintai’ hasil seninya kerana dia beradadi dalam platform yang boleh diakses secara global.
“Sebagai artis sepenuh masa yang menjana pendapatan daripada lukisan, agak susah jika mengikuti cara lama.
“Sebab itu saya gunakan media sosial supaya mudah akses kepada ramai orang selain ia juga percuma. Sosial media memang sangat membantu,” katanya yang juga pernah melukis untuk figura terkenal seperti Cef Gordon Ramsay dan Selebriti, JJ Lin.

BELAJAR DI MEDIA SOSIAL
Pertemuan kami pada petang itu cukup santai dengan Chan hanya mengenakan dres polos berwarna hitam.
Tampak ringkas tapi cukup elegan dan berkarisma. Keletahnya yang bersahaja saat menjawab soalan-soalan yang diajukan kadangkala
mengundang tawa.
Tidak hairanlah banyak jenama-jenama besar mudah ‘melekat’ dengannya.
Katanya, penerimaan orang terhadap karyanya itu juga adalah satu anugerah sementelah dia tidak pernah mengikuti kelas pembelajaran seni secara formal.
Hanya berbekalkan minat dan azam yang kukuh, dia bertatih menjadi seorang pelukis yang dikenali pada hari ini.
“Ayah meninggal ketika usia saya 14 tahun. Ketika itu ibu sendirian terpaksa membesarkan kami tiga beradik.
“Saya tidak mampu untuk pergi ke kelas seni, saya hanya belajar melalui media sosial dan Youtube sahaja.
“Umur 14 tahun saya sudah mula menjual lukisan secara dalam talian,” kata anak bongsu dari tiga beradik itu.
MEMPERKASA WANITA
Berbekalkan susah payah itu, sedikit sebanyak beliau cuba memperkasakan wanita melalui karya seni.
Katanya, wanita zaman kini juga boleh menempa kejayaan kerana kemampuan mereka sudah semakin diterima dunia.
“Kalau dahulu orang selalu kata wanita tiada apa pun, kalau wajah cantik pula selalunya akan buat benda tidak baik untuk dapatkan duit.
“Kini, dunia sudah mula nampak wanita juga tidak kurang hebatnya. Kita juga boleh berjaya dengan usaha sendiri,” jelasnya yang merupakan pelukis lukisan minyak.
Malah, salah satu karyanya yang bertajuk Man Wonder Woman turut mencuba memperkasa wanita dengan meminta orang ramai untuk melihat kaum ini bukan sekadar luaran.
Dalam lukisan itu, Chan menampilkan karakter seorang wanita memakai sut Superhero, Wonder Woman yang wajahnya
ditutupi dengan plastik berwarna merah.
“Dalam lukisan itu saya mahu menunjukkan bahawa walaupun wajahnya telah ditutup tetapi ramai yang tahu bahawa itu
adalah Wonder Woman.
“Maksudnya di sini, saya mahu menunjukkan bahawa jangan menilai wanita hanya dari paras rupa,” ujarnya.
Karya-karyanya yang unik ini juga mendapat perhatian negara jiran, Singapura.
Malah, lukisannya The Odd One Out pernah dilelong di Galeri Nasional Singapura. Ia secara tidak langsung mengiktiraf hasil kerjanya sebagai
seorang pelukis.
Lebih sedekad bergelar pelukis, Chan mengakui dunia seni banyak mengubah perspektif terhadap kehidupan.
Selepas melibatkan diri secara mendalam terhadap karya seni, beliau mula memandang semua perkara dalam kehidupan sebagai satu seni.
“Sejujurnya cita-cita saya sememangnya satu sahaja iaitu menjadi seorang pelukis.
“Setakat ini saya sudah gembira dengan studio saya yang terletak di Ipoh. Memandangkan saya suka mengembara untuk mencari inspirasi, jadi saya tiada perancangan untuk membuka galeri kerana tidak mahu terikat dengannya,” jelasnya.
‘Penerimaan seni di Malaysia masih lemah’
SEPANJANG laluan kerjayanya, gadis manis ini dilihat lebih banyak berkolaborasi dengan jenama luar negara.
“Terus-terang saya katakan penerimaan seni di negara ini masih agak lemah.
“Kalau lihat di Singapura, kanak-kanak sejak di bangku tadika lagi sudah dibawa melawat muzium kesenian dan sebagainya untuk
mendedahkan mereka kepada karya-karya seni,” jelasnya.
Industri seni tempatan katanya, agak sukar bagi artis belajar sendiri (self-taught) mencari makan kerana kebiasaannya kelebihan
lebih berpihak pada artis berkelulusan pendidikan seni secara formal.
“Itu yang saya sifatkan saya sebagai bertuah kerana karya saya diterima masyarakat dan hingga kini saya boleh menjana pendapatan stabil dengan menjadi pelukis sepenuh masa,” katanya.
Pintu rezeki Chan terbuka luas apabila baru-baru ini berpeluang menjalinkan kerjasama dengan syarikat perabot dalam talian tempatan, CUURA Space.
Beliau bertindak sebagai pengkarya menghasilkan seni lukis pada perabot keluaran syarikat berkenaan dengan tema Cupid yang meneroka
banyak tema berasaskan cinta.











