Pandang positif hapus pencen kerajaan

Pandang positif hapus pencen kerajaan

Prestasi tinggi dividen simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonjakkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAGI saya, kerajaan mengambil satu langkah berani apabila berhasrat mengubah sepenuhnya landskap skim pencen bagi kakitangan kerajaan baharu. Keputusan terbaru ini menandakan skim pencen konvensional akan berakhir dan satu pendekatan baharu yang lebih progresif dan memberangsangkan akan diambil bagi memastikan kakitangan awam terus menikmati keistimewaan.

Pada hemat saya, melalui sistem ini, setiap kakitangan kerajaan baharu yang dilantik ke jawatan tetap tanpa pencen akan menerima pinjaman berupa deposit pelaburan tanpa keuntungan dari kerajaan sebanyak RM50,000 atau lebih mengikut gred jawatan mereka.

Deposit ini akan disimpan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas penjawat awam ini disahkan dalam jawatan masing-masing.

Untuk pinjaman pelaburan ini, mereka akan membayar balik pinjaman pelaburan tanpa faedah kepada kerajaan sekitar RM170 sebulan agar tidak menjejaskan pendapatan mereka secara keseluruhan.

Hasilnya, penjawat awam yang mencarum dalam KWSP akan menikmati pulangan dividen serta pulangan keuntungan dari pelaburan. Pelaburan awal sebanyak RM50,000, mungkin boleh berkembang hingga RM200,000 atau lebih dan hanya boleh dikeluarkan apabila mereka mencapai umur persaraan wajib atau diizinkan mengeluarkan wang itu tidak melebihi RM1,500 setiap bulan. Baki wang yang belum ditebus akan terus menikmati bonus dan dividen daripada KWSP.

Keputusan ini memberikan jaminan kestabilan kewangan kepada penjawat awam setelah bersara, seolah-olah mereka menerima pencen seumur hidup. Dengan wang yang dicarum untuk KWSP akaun satu dan dua, penjawat awam boleh merancang untuk menggunakan simpanan mereka untuk membeli rumah, kenderaan dan pendidikan anak-anak tanpa sebarang kerisauan kerana skim ini menjanjikan satu kehidupan yang lebih bermakna sepanjang hayat.

Keputusan ini bukan sahaja memberi insentif kepada kakitangan kerajaan baharu, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk melibatkan diri secara aktif dalam perancangan kewangan peribadi.

Sementara itu, ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam mencipta sistem yang lebih adil dan berinovasi sekali gus menggambarkan Malaysia sebagai negara yang sentiasa menghormati kehidupan rakyatnya.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×