Rahsia kulit kekal remaja

Rahsia kulit kekal remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUR baru awal 30an tetapi nampak lebih berusia gara-gara kulit kusam dan munculnya garis-garis halus pada dahi serta sudut mata.

Tanda-tanda penuaan ini muncul lebih awal kerana faktor persekitaran dan amalan gaya hidup kurang sihat.

Selain itu, faktor radang antara punca berlaku kulit matang lebih cepat dan nampak lebih berusia.

Radang boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran dan amalan kita setiap hari.

Antara faktor menyebabkan radang seperti tekanan atau stres, sinar cahaya matahari, pencemaran alam, tabiat merokok, gaya hidup dan pemakanan.

Pakar Estetik dan Perunding Perubatan Peribadi, Dr. Aren Yong berkata, radang berlaku dalam kadar yang sangat rendah dan tidak dapat dilihat melalui mata kasar.

Walaupun radang tidak kelihatan oleh mata kasar tetapi kesannya boleh dilihat dalam jangka masa panjang seperti kulit menjadi kusam, kering dan munculnya garis-garis halus pada wajah.

“Radang seterusnya semakin bertambah dan mempercepatkan penuaan kulit. Jadi, kita perlu mencegah
berlakunya keradangan ini dengan mengubah suai gaya hidup dan mengelakkan faktor pencetusnya,” katanya.

Menjalani gaya hidup dan pemakanan sihat serta mengurangkan stres atau tekanan boleh mencegah berlaku keradangan pada kulit.

Ada pelbagai produk penjagaan kulit bagi mencegah penuaan, hakikatnya untuk memiliki kulit mulus tanpa cela memerlukan 70 peratus usaha sendiri.

“Mendapatkan kulit cantik, perlu amalkan gaya hidup sihat seperti diet seimbang, bersenam dan tidur mencukupi, penting untuk mengelakkan kulit nampak cepat lebih tua daripada usia sebenar.

“Selebihnya barulah usaha itu disokong dengan menggunakan produk penjagaan kulit seperti menggunakan pelembab dan serum untuk penjagaan kulit secara luaran. Penjagaan kulit paling penting adalah serum dan pelembap wajah,” katanya.

 

BANYAK GULA CEPAT TUA
Kurangkan pengambilan gula kerana ia mengandungi glukos dan karbohidrat yang boleh mempercepatkan proses penuaan.

Makanan berminyak dan produk makanan berasaskan tenusu seperti keju, produk berasaskan kekacang dan makanan pedas juga boleh mempercepatkan penuaan kulit wajah.

Selaras dengan teknologi moden, mahu atau tidak, kita perlu juga bantuan daripada produk penjagaan yang berteknologi canggih ini untuk mendapatkan kesan lebih baik.

Matlamat utama penjagaan kulit bukanlah hendak mengundurkan usia kerana sudah semestinya ia tidak mungkin dicapai tetapi apa yang lebih penting adalah sekurang-kurangnya untuk mengekalkan kesihatan kulit.

Justeru, amalan penjagaan kulit wajah perlu bermula sejak usia belasan tahun lagi.

Bagaimanapun ramai yang tersalah anggap mengenai kecantikan dengan melakukan rawatan secara agresif seperti suntikan botox atau vitamin C.

“Sebelum memilih rawatan yang agresif bagi mendapatkan hasil drastik untuk kulit, tanya diri apakah matlamat untuk melakukan rawatan seperti suntikan vitamin C atau botox?

“Jangan terikut-ikut dengan perkara yang ditularkan di media sosial dan semata-mata ingin mengikut perkembangan terkini. Anda perlu memahami apakah keperluan kulit anda,” katanya.

Sebelum menyuntik vitamin C atau kolagen dan sebagainya, Dr. Yong menyarankan pengguna untuk mendapatkan nasihat dan analisa kulit daripada doktor bertauliah terlebih dahulu.

“Mulakan dengan rutin penjagaan kulit yang baik terlebih dahulu. Terutama bagi mereka yang masih muda atau tidak mengalami masalah terlalu serius.

“Jika memerlukan rawatan laser, tidak digalakkan buat setiap minggu. Cukuplah sebulan sekali. Laser memang boleh mengeluarkan pigmentasi tapi kalau tidak guna penjagaan kulit seperti serum dan pelembab, ia akan menyebabkan kulit menjadi kering,” katanya.

 

SERUM PELENGKAP PENJAGAAN KULIT
Rutin penjagaan kulit merangkumi pembersih, pelembap dan pelindung matahari. Bagaimanapun, jangan lupa sapukan serum kerana ia melengkapkan penjagaan kulit wajah.

“Serum muka selalunya mengandungi bahan aktif seperti asid hyaluronik atau asid glikolik dan ia sangat berguna untuk menyasarkan masalah kulit tertentu seperti jerawat, kekeringan, liang tersumbat, kusam dan bintik hitam.

“Serum menjadikan kulit lebih berseri dan membantu mengurangkan garis-garis halus. Salah satu daripada banyak manfaat serum ialah ia mengurangkan keradangan dan menenangkan kulit anda
yang merengsa,” katanya.

Dr. Yong ditemui pada majlis pelancaran koleksi Callie iaitu produk penjagaan kulit keluaran Malaysia, XOSOME Collection, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengasas Callie, Kelly Teoh.

Koleksi Callie mengandungi serum dan pelembab bagi mengatasi masalah penuaan kulit dengan memanfaatkan eksosom iaitu gelembung regenetatif bersaiz nano.

“Eksosome diekstrak daripada sel stem yang dikultur di dalam makmal. Sel ini menghantar mesej kepada kulit untuk memperbaharui kulit yang cedera atau rosak.

“Dulu kita suntik saja bahan ini tetapi sekarang kita sapu saja.

“Setiap hari kulit boleh mengalami kecederaan seperti luka kecil, kadangkala ada ekzema, jadi eksosome yang bersaiz halus, menyerap ke dalam kulit dan memulihkan radang,” katanya.

Bagi mendapatkan hasil berkesan dan kulit lebih muda, sapukan serum selepas mencuci wajah atau selepas menyapu penyegar.

Dengan mencuci wajah, anda menghapuskan halangan seperti kotoran pada wajah bagi membolehkan serum menyerap ke dalam kulit.

Langkah seterusnya, sapukan pelembab pada wajah.

Serum dan pelembab sebaiknya disapu dua kali sehari iaitu sekali di sebelah pagi dan sekali lagi sebelah malam sebelum anda tidur.

 

Tips mencegah penuaan kulit
1. Amalkan gaya hidup sihat. Jauhi tabiat merokok kerana ia bersifat oksidan dan menjadikan kulit lebih
cepat matang.

2. Makan makanan seimbang dan tinggi kandungan antioksidan seperti buah-buahan dan sayuran segar.

3. Kekalkan hidrasi. Minum dua liter air sehari terutama selepas bersenam. Air lemon
segar dan air kelapa segar baik untuk hidrasi kulit.

4. Elakkan terdedah secara langsung kepada sinar matahari. Lindungi kulit daripada sinar matahari dengan menyapu pelindung matahari atau pelembab dengan SPF.

5. Tidur lena. Cuba tidur dengan lena selama lapan jam setiap malam bagi membolehkan tubuh memperbaiki diri.

6. Kurangkan tekanan dan beban kerja atau apa saja yang membuatkan anda stres kerana ia boleh membuatkan kulit cepat berkedut. Amalkan bersikap tenang bila tertekan dengan tidak terlalu
memikirkannya. Pelembab mengekalkan kelembapan kulit

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×