KUALA LUMPUR: Bangsar Heights Pavilion (BHP) mengumumkan kerjasama Hyatt Hotels Corporation bagi menguruskan Hyatt Place Johor Bahru City Centre (JBCC) dengan 200 bilik terletak di Quayside JBCC, Johor Bahru.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak bakal menawarkan perkhidmatan Hyatt Place yang disesuaikan dengan keperluan pengembara sama ada untuk bekerja atau melancong termasuk bersama keluarga.
Quayside JBCC merupakan pembangunan bercampur berstatus pegangan bebas terdiri daripada pusat beli-belah, hotel, suite perkhidmatan dan restoran mewah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta.
Ia terletak di tengah-tengah bandar Johor Bahru, tidak jauh dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Ketua Pegawai Eksekutif BHP, Aaron Yap berkata, pihaknya percaya perkongsian berkenaan akan menambah nilai kepada pemegang taruh kedua-dua syarikat.
“Hyatt Place ialah jenama diiktiraf di peringkat global dan terkenal dengan kemudahan moden, layanan mesra dan komitmen terhadap kepuasan tetamu, sejajar dengan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman lancar kepada pelanggan.
“Kami percaya kepakaran mereka akan memainkan peranan penting dalam meletakkan Quayside JBCC sebagai destinasi utama di Johor Bahru,” katanya.
Yap berkata, Quayside JBCC telah menerima sambutan baik daripada pasaran dengan hampir 90 peratus daripada 482 suite perkhidmatan yang ditawarkan telah dijual dalam tempoh kurang setahun selepas pra pelancarannya.
“Kami yakin semua unit yang ditawarkan akan habis dijual pada Mac atau April ini,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kumpulan Hyatt bagi Asia Pasifik, David Udell berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan BHP bagi memperkenalkan Hyatt Place Johor Bahru City Centre di Malaysia.
“Kami berbesar hati dengan legasi BHP yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam pembangunan hartanah kediaman, komersial dan perindustrian di negara ini.
“Kami berbangga untuk menawarkan pelanggan destinasi seperti berada di rumah sendiri yang ditakrif sebagai penginapan yang selesa ketika melancong,” katanya.
Jelas beliau, kerjasama itu juga mencerminkan pertumbuhan menarik jenama Hyatt Place di Asia Tenggara. – UTUSAN










