Ini cerita Malaysia - Pengarah Rain Town enggan patah semangat - Utusan Malaysia

Ini cerita Malaysia – Pengarah Rain Town enggan patah semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun kutipan filem Rain Town kurang mendapat sambutan di minggu pertama, pengarahnya, Tunku Mona Riza, enggan berputus asa sebaliknya tetap mengajak orang ramai turun ke panggung.

Mona berharap, peluang yang diberikan pihak panggung untuk melanjutkan tayangan sehingga 22 Februari ini akan dapat meningkatkan jumlah kutipan filem Rain Town di minggu kedua.

“Mungkin di minggu pertama orang tidak turun ke panggung kerana sambutan Tahun Baru Cina. Masyarakat Cina pula memiliki pantang larang bahawa tidak akan tengok apa-apa cerita sedih di hari pertama tahun baharu. Saya faham dan menghormatinya.

“Diharap, filem ini akan terus mendapat sambutan selepas ini kerana ia sebuah naskhah yang menceritakan perihal kekeluargaan dan dialami banyak orang.

“Mungkin kaum Melayu tak perasan cerita ini kerana mereka ingatkan ia filem Cina. Rain Town sebenarnya sangat sesuai ditonton oleh semua bangsa kerana isu yang dibincangkan sangat berkaitan dengan semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Mona, dia sendiri hairan mengapa jumlah kutipan filem Rain Town sangat rendah namun bersyukur kerana banyak pihak tidak putus-putus menyokongnya.

“Sambutan memang sangat kurang. Hasil semakan saya dengan pengedar, bahagian pemasaran dan pihak panggung, jumlah kutipan tidak sampai 100 tiket.

“Semakan itu saya buat selepas menerima aduan daripada penonton di mana terdapat satu panggung yang membatalkan tayangan Rain Town atas sebab teknikal.

“Saya tidak tahu kenapa kutipan rendah. Pihak media dan portal banyak menyokong saya yang menulis tentang filem Rain Town, namun tidak juga ‘jalan’,” tambahnya.

Sebelum ini, pihak pengurusan pawagam bersetuju memberi peluang dan melanjutkan tayangan filem Rain Town sehingga 22 Februari ini.

Keputusan itu dicapai selepas perbincangan dilakukan antara syarikat produksi Current Pictures Sdn. Bhd, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan juga wakil pengusaha panggung wayang.

Rain Town menceritakan tentang konflik keluarga apabila bapanya, Choo mempunyai tabiat buruk yang suka bertaruh.

Filem ini telah mula ditayangkan sejak 8 Februari lalu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×