Jumlah pesakit kanser baharu di Terengganu meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah pesakit kanser baharu di Terengganu meningkat

KASEMANI Embong (berdiri, tiga dari kiri) merasmikan larian sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Jumlah pesakit kanser baharu di Terengganu terus meningkat kepada 621 orang pada tahun 2023 berbanding 575 orang pada tahun 2022.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada 621 kes tersebut, sebanyak 350 kes kanser atau 56.6 peratus yang didiagnos adalah dalam kalangan kaum wanita berbanding 270 orang (49 peratus) kaum lelaki.

Menurutnya, lima kes kanser tertinggi di Terengganu pada tahun 2023 adalah kanser kolorektal iaitu 123 kes (19.8 peratus), kanser payudara 85 kes (13.7 peratus) dan kanser paru-paru 69 kes (11.1 peratus).

“Selain itu, leukaemia pula merekodkan sebanyak 45 kes (7.2 peratus) dan kanser tiroid pula ialah 29 kes (4.7 peratus).

“Jabatan akan terus memberi pendedahan terhadap langkah pencegahan dan saringan awal kepada penduduk Terengganu mengenai ancaman kanser dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri Terengganu bertemakan Rapatkan Jurang Penjagaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih menyedihkan kerana ramai pesakit kanser hanya tampil membuat saringan setelah keadaan kesihatan mereka bertambah teruk.

“Apa yang dikesalkan adalah pesakit ini hanya dapat didiagnos apabila kanser mereka sudah berada di tahap tiga atau empat.

“Ini terbukti apabila 59.3 peratus kes kanser kolorektal dan 56.5 peratus kes kanser payudara dikesan pada tahap tiga dan empat.

“Selain itu, lapan pesakit lesi mulut telah didiagnosis sebagai Kanser Mulut hasil saringan di Klinik Pergigian dengan empat daripadanya dikesan telah pun berada pada tahap keempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai terus cakna mengenai bahaya kanser dan kepentingan pemeriksaan sendiri.

“Saringan harus dipertingkatkan agar penyakit kanser dapat dikesan awal. Satu per tiga daripada penyakit kanser boleh dicegah sekiranya dibuat saringan awal seperti kanser payudara, kanser kolorektal dan kanser serviks.

“Pengesanan awal juga dapat membantu prognosis penyakit yang lebih baik, malah sempena bulan kesedaran kanser ini, kami turut meningkatkan aktiviti kempen untuk komuniti melalui pelbagai medium,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×