SEREMBAN: Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) supaya kira-kira 500 orang ketua isi rumah (KIR) yang sebelum ini dikategorikan sebagai miskin tegar kekal mendapat pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan.
Pengarah PPNNS, Roslan Mat Nong berkata, kesemua KIR tersebut sebahagian daripada mereka yang telah disifarkan sebagai miskin tegar sehingga penghujung tahun lalu di negeri ini.
Beliau memberitahu, pihaknya tidak mahu KIR tersebut kembali masuk dalam kategori miskin tegar hanya kerana mereka tidak lagi dapat menikmati rebat berkenaan.
“Perbincangan awal menunjukkan respon yang positif untuk kekalkan rebat elektrik RM40 tersebut, jumlah yang berdaftar mengikut maklumat awal kurang daripada 500 KIR.
“Negeri Sembilan melalui PPNNS merupakan negeri yang pertama mengambil langkah dalam perkara ini kerana menyedari ini adalah penting dan wajar dipertimbangkan.
“Kesemua KIR ini dalam proses transisi untuk meningkatkan pendapatan mereka bagi keluar daripada kelompok miskin tegar dan miskin,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Media di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini.
Roslan memberitahu, pihaknya melihat wajar untuk golongan tersebut terus diberikan bantuan berkenaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan lagi ataupun sehingga mereka stabil dan tidak lagi memerlukan bantuan.
Sementara itu, beliau memberitahu, daripada sejumlah 3,530 KIR yang berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar di negeri ini tahun lalu, kira-kira 120 KIR telah didapati kembali dalam kelompok itu setakat awal tahun ini.
“Angka ini bagi saya adalah sementara, saya yakin kita dapat kembali kepada sifar miskin tegar pada tahun ini. Menerusi perancangan yang ada, saya optimis Negeri Sembilan masih menjadi negeri pertama yang mengekalkan sifar miskin tegar,” katanya lagi.-UTUSAN.










