JAKARTA: Kisah seorang murid darjah empat, Aldi, dari Kampung Subang, Jawa Barat, menjual cilok sehingga ke bangunan Dewan Perwakilan Penduduk menjadi tular dalam media sosial.
Cilok adalah makanan tradisional Indonesia yang dibuat daripada ubi kayu.
Lapor Kompas.com, Aldi bukanlah datang melulu ke bangunan itu, sebaliknya dijemput oleh Timbalan Pengerusi Pesuruhjaya IV, Dedi Mulyadi.
Dedi mengetahui kisah kanak-kanak itu menjual cilok sejak darjah satu kerana mahu mengumpul duit untuk membeli telefon pintar buat adiknya supaya dapat meneruskan pembelajaran dalam talian.
Kisahnya bermula apabila Dedi menemui Aidil beberapa hari lalu sambil membawa barang jualannya di Cikopo, Purwakarta, pada pukul 6 pagi.
Beliau kemudian bertanyakan tempat tinggal budak itu sebelum terkejut apabila mengetahui dia tinggal di Subang sedangkan jarak antara dua kawasan itu adalah 57 kilometer.
Sejak awal pagi, Aldi akan keluar rumah dari Subang menaiki bas dengan tambang 10,000 rupiah (RM2.80) sehala.
Aldi terpaksa menjual cilok kerana ayahnya hanya bekerja sebagai penggali kubur, manakala, ibunya pula sakit.
Jelas Dedi, alasan dia menjemput kanak-kanak itu supaya dapat membina keyakinan dan kemahiran berkomunikasi semasa melakukan jualan di bangunan itu.











