Harga beras putih RM30 sekampit

Harga beras putih RM30 sekampit

Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) cadang urusan beras diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini bermula Isnin ini.

Dengan mekanisme terbaharu itu, kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan me­lainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori beras tunggal.

Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, serentak itu kerajaan menetapkan harga si­ling untuk beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Buat masa ini, harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 setiap 10kg manakala beras import kampit 10kg berharga antara RM36 hingga RM38.

“Pengguna boleh mendapatkan bekalan beras putih berharga RM30/kampit di pasaran mulai 1 Mac ini.

“Tempoh 19 Februari hingga 1 Mac ini berikutan mengambil masa untuk dijual di pasaran. Ia memberi peluang kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dari segi pembungkusan dan pemasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Puchong, semalam.

Sebelum ini, Syed Abdul Hussin memaklumkan harga beras tempatan dan import perlu diselaras bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri berkaitan makanan asas negara ini.

Perkara itu meraih perhatian dan pandangan pelbagai pihak termasuk Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia yang menyifatkan cadangan itu sudah tiba masanya memandangkan 18 tahun harga beras tidak naik sejak 2006.

Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, dalam tempoh 19 Februari sehingga 1 Mac ini, kerajaan memberi masa kepada semua pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dengan membenarkan semua jenis pembungkusan lama dijual sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis.

Beliau berkata, kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi mesti dipotong dan ditampal dengan pelekat RM30 manakala pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras bagi disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac ini.

“Semua jenis pembungkusan dan warna sedia ada di pasaran akan dibenarkan sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis. Namun, pembungkusan Beras Putih Malaysia Madani akan diselaras menggunakan reka bentuk yang kini di peringkat lakaran,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

“Saya telah diberi amanah sebagai jawatan (Naccol) untuk menyelesaikan sedikit-sebanyak kos sara hidup ini (dan) saya kena buat tindakan pantas. Ini pengumuman,” katanya.

Menurut beliau, mekanisme itu sekali gus memberi peluang kepada petani dan pesawah selesa dengan harga siling beras yang diumumkan di samping menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

“Keputusan ini diambil bagi menyelesaikan isu beras tempatan yang tiada di pasaran sekali gus menjawab kritikan orang ramai kerana terpaksa membeli beras pada harga mahal. Ia adalah hasil libat urus bersama pemegang taruh industri padi dan beras negara.

“Ini memberi ruang selama 18 tahun harga beras tidak naik. Industri juga boleh survive dengan harga RM30 untuk 10kg,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×