Pegawai TLDM, pemilik syarikat direman lima hari bantu siasatan kartel perolehan - Utusan Malaysia

Pegawai TLDM, pemilik syarikat direman lima hari bantu siasatan kartel perolehan

DUA lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan kes sindiket kartel perolehan melibatkan projek-projek pembinaan di sebuah kem TLDM di Johor bernilai RM9 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan sindiket kartel perolehan melibatkan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM, di sini dengan nilai RM9 juta.

Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 42 dan 55 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Majistret Johor Bahru, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tangan bergari.

Kedua-dua suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, pembayaran penuh telah dibuat sedangkan pembinaan masih belum disiapkan dengan sempurna.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 19 Januari lalu, tiga individu lain yang berusia antara 28 hingga 47 tahun turut ditahan reman bagi membantu siasatan kes sama.

Kesemua mereka dipercayai antara individu yang terlibat dengan sindiket kartel perolehan bagi 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di kem TLDM berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×