SINGAPURA: Pemandu lori kargo warga Malaysia yang sudah menerima kedua-dua suntikan vaksin Covid-19 di negara ini bakal mendapat sijil imunisasi.
Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) memaklumkan golongan tersebut juga akan dikecualikan daripada menjalani ujian saringan ketibaan selama 14 hari selepas pengambilan dos kedua.
Menurut MTI, pemandu dan pengiring lori kargo yang sudah mengambil dua dos suntikan vaksin di Singapura akan menerima Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) bahawa sudah selesai menjalani proses vaksinasi serta mendapat sijil imunisasi.
“Mereka akan dikecualikan daripada melakukan ujian saringan ketibaan selepas suntikan dos kedua.
“Namun, mereka mungkin perlu menjalani ujian saringan di pusat pemeriksaan di sempadan Singapura dari semasa ke semasa,” jelas MTI.
Tambah MTI, pemandu lori kargo yang belum menerima suntikan vaksin masih lagi dibenarkan untuk memasuki Singapura namun mereka perlu menjalani langkah-langkah kesihatan di sempadan seperti ujian saringan Covid-19 ketika ketibaan.
MTI bagaimanapun menjelaskan semua pemandu dan pengiring lori kargo yang memasuki negara ini tanpa mengira sama ada sudah divaksin atau sebaliknya harus mematuhi langkah pengurusan keselamatan sepanjang urusan kerja mereka.
Langkah itu merangkumi memastikan pemeriksaan suhu dan SafeEntry dilakukan sebelum memasuki lokasi penghantaran serta mengamalkan penjarakan sosial sepanjang masa termasuk ketika memunggah dan menghantar bekalan. – AGENSI











