PETALING JAYA: Tangan ghaib yang dikatakan menganggu skuad terjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu hanyalah alasan selepas penerjun negara termasuk Datuk Pandelela Rinong dan Nor Dhabitah Sabri gagal meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pandelela itu hanyalah sekadar alasan bagi menutup kegagalan di Doha kerana pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai permasalahan yang timbul sebelum kejohanan berlangsung.
“Pandelela seharusnya minta maaf kepada semua pihak susulan kegagalannya, bukan memberi alasan begini untuk tutup kegagalannya.Kami tidak menerima laporan dari atlet yang lain berkenaan gangguan entiti ini tetapi pihak kami tetap akan menjalani siasatan.
“Sejak pulang dari Doha, dia (Pandelela) tidak berjumpa dengan kami dan masih berehat. Kami akan berbincang mengenai statusnya di tarikh yang akan ditetapkan.
Sejak kita ambil alih, kami ada bertemu dengan atlet, tiga atau empat kali. Ketika latihan pun kami ada berbincang.
“Kami memang tidak tahu apa yang diperkatakan oleh Pandelela itu tetapi selepas ini kami akan siasat. Kami akan panggil dia dan bersemuka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dakwaan ini,” katanya.
Kelmarin, Pandelela yang terlepas tiket ke Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem terjun negara, sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.
Mengulas lanjut, Andy berkata, dalam hasil pertemuan sebelum ini, masalah yang sering dikemukakan oleh atlet terjun hanyalah berkenaan elaun serta gaji mereka, namun tiada berbangkit isu-isu lain.
Andy berkata, Pengarah Teknikal Terjun, Bryan Nickson Lomas, sering mengadakan perbincangan bersama kesemua atlet terjun untuk meluahkan sekiranya masalah timbul semasa latihan dan kejohanan.
“Bryan sering melaporkan kepada saya mengenai masalah yang timbul kepada mereka (skuad terjun) tetapi tidak pernah bangkit berkenaan isu tangan ghaib ini kepada saya. Masalah yang dinyatakan hanya isu kewangan dari segi minta menaikkan gaji dan elaun mereka,” tambahnya.
Sementara itu, ditanya mengenai hasrat Pandelela yang masih belum mahu bersara, beliau berkata persatuan tetap menghormati pendirian bekas pemenang pingat gangsa dan perak Sukan Olimpik itu.
“Tidak ada masalah itu hak rakyat, anda tidak mahu bersara mahu ‘loncat’ sampai 60 tahun pun saya terima tetapi bila ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MAS anda tidak boleh capai, anda tahu pintu itu di mana.
“Tak perlu kita halau, kita halau kata orang tak elok, dia pun sudah banyak naikkan nama Malaysia tetapi bila anda bukan lagi dalam keadaan seperti dulu, harus sedar diri, kalau dia mahu cakap macam itu kita guna KPI, setiap tahun anda mesti capai KPI, kalau tidak boleh capai tidak boleh salahkan kami,” katanya.-UTUSAN










