LUMUT: Mangsa ketiga dan terakhir kejadian remaja lemas di Sungai Sempit, Segari, dekat sini berjaya ditemui petang ini.
Mangsa, T.Eishwarpillai, 16, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS) Sitiawan itu, ditemui pada pukul 5.05 petang, kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemui terapung selepas air pasang di kawasan sungai tersebut.
“Mayat mangsa ditemui selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik membuat olakan air menggunakan bot bagi mengesan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, mangsa pertama Chew Darumaraj, 14, ditemui pada pukul 9.05 pagi kirra-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Mangsa kedua, G. Sharath, 16, ditemui tersangkut pada jaring nelayan kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, ketiga-tiga mangsa bersama dua lagi rakan lain pergi ke lokasi kejadian tengah hari semalam untuk memancing, sebelum tiga mangsa tersebut mengambil keputusan untuk mandi di sungai tersebut kemudian lemas.
Operasi SAR itu dilaksanakan JBPM bersama bantuan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Nelayan Batu 3 Segari yang digerakkan secara bersepadu. – UTUSAN








