Seorang daripada tiga remaja lemas dijumpai - Utusan Malaysia

Seorang daripada tiga remaja lemas dijumpai

ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga remaja lelaki yang dilaporkan lemas di Sungai Sempit, Segari. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jasad seorang daripada tiga remaja lelaki yang dilaporkan lemas di Sungai Sempit, Segari, dekat sini, ditemui pagi ini.

Mangsa, Chew Darumaraj, 14, ditemui pada pukul 9.05 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata, mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) JBPM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha mencari dua lagi mangsa diteruskan dengan operasi SAR bermula pukul 8 pagi tadi dengan membuat tambahan dua lagi unit bot menjadikan jumlah 5 buah bot JBPM.

“Pada masa sama, Unit K9 turut dilibatkan dalam membuat pencarian ini manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat ‘size up’ dan pemantauan di lokasi dan sekitar mangsa dilaporkan tenggelam,” katanya di sini hari ini.

Dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang ketika memancing dan mandi di sungai tersebut ialah G. Sarath dan T.Eishwarpillai, kedua-duanya berusia 16 tahun.

Menurut Sayani, skop pencarian melibatkan empat buah bot adalah di kedua-dua arah sungai kerana sungai tersebut berhampiran muara dan mengalami air pasang surut menyebabkan aliran air berlaku di kedua-dua arah.

Sementara, sebuah bot dalam keadaan bersedia berhampiran muka muara sungai bagi memastikan mangsa tidak hanyut masuk ke laut.

Jelasnya, selain JBPM, bantuan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Nelayan Batu 3 Segari turut digerakkan secara bersepadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini