KEMAMAN: Pendaftaran sistem Pengkalan Data Utama (PADU) di Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran seramai 156,509 daripada 871,000 penduduk yang berusia 18 tahun ke atas di negeri ini, setakat Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, Marlini Sahul Hamid berkata, daripada jumlah itu, daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu seramai 34,750 orang penduduk, diikuti Besut seramai 23,370 orang.
“Dua daerah mencatatkan pendaftaran paling rendah iaitu Hulu Terengganu seramai 12,398 orang dan Kuala Nerus hanya 10,997 penduduk yang telah mendaftar,” katanya selepas program pengisian PADU bersama Orang Asli di Kampung Sungai Pergam, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Marlini berkata, pihaknya berharap penduduk di negeri ini dapat mendaftar sebelum 31 Mac depan.
“Kalau diikutkan jumlah pendaftaran masih lagi rendah yang mana belum sampai 20 peratus rakyat yang berusia 18 tahun ke atas mendaftar menerusi sistem ini.
“Bagaimanapun, peratusan kemas kini harian PADU negeri Terengganu adalah keempat tertinggi selepas Putrajaya, Perlis dan Sarawak,” katanya.
Marlini berkata, pihaknya sedang menggandakan usaha dan kempen bagi memastikan penduduk mengisi Padu.
“Sekarang ini, kita lihat orang ramai belum mendaftar dengan Padu sebab mereka masih kurang kefahaman dan ada yang bimbang mengenai keselamatan data.
“Kita berusaha turun padang bagi memberi pemahaman kepada penduduk dan menangkis berita tidak benar,” katanya. – UTUSAN










