GEORGE TOWN : Dua bas pekerja disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Khas Bulan Perayaan di Simpang Ampat, Nibong Tebal, semalam.
Jurucakap JPJ negeri berkata, salah satu daripada bas itu dikesan tidak memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan dipandu oleh warga asing yang tidak memiliki lesen memandu.
“Sebuah lagi bas dipandu oleh lelaki tempatan yang juga tidak mempunyai lesen memandu manakala bas yang dipandunya pula tiada PSV, lesen kenderaan serta mempunyai perakuan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) yang tamat tempoh,” katanya di sini, hari ini.
Selain operasi penguatkuasaan melibatkan PSV katanya, JPJ negeri turut menjalankan satu lagi operasi penguatkuasaan khas secara bersepadu yang melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal, semalam.

Katanya, operasi selama tiga jam bermula pukul 4 petang itu dijalankan di sekitar kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Daerah Barat Daya.
“Dalam operasi ini, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 125 notis saman dan teknikal atas pelbagai kesalahan manakala polis (JSPT) dan JAS pula masing-masing turut mengeluarkan sebanyak 60 dan 25 notis (saman) atas pelbagai kesalahan.
“Tiga buah motosikal juga disita dalam operasi itu kerana membuat pengubahsuaian yang keterlaluan,” ujar beliau.-UTUSAN











