Ketua Polis Johor turut terima e-mel ancaman bom - Utusan Malaysia

Ketua Polis Johor turut terima e-mel ancaman bom

M. KUMAR (tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota yang terlibat dalam Op Selamat di persimpangan Bangunan Sultan Iskandar-Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar mengesahkan beliau turut menerima ancaman bom menerusi e-mel rasminya, hari ini.

Menurutnya, ugutan palsu itu diterima daripada individu bernama, Takahiro Karasawa yang turut memberikan kiriman e-mel kepada beberapa pihak lain, termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini.

“Dia hantar e-mel dan semakan mendapati ia daripada alamat sama seperti yang pernah dihantar sebelum ini ke beberapa pihak, iaitu pada Disember tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita percaya orang yang sama dan hasil siasatan mendapati ia akaun palsu. Setakat ini MBJB antara pihak yang membuat laporan polis selain laporan daripada polis berikutan e-mel dihantar ke e-mel rasmi saya,” katanya pada program Menyantuni Petugas Op Selamat di persimpangan Bangunan Sultan Iskandar-Jalan Lingkaran Dalam, di sini malam ini.

Kumar memberitahu, pihaknya bagaimanapun masih tidak jelas dengan motif pengirim e-mel tersebut, namun siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti identiti pelaku.

“Kadangkala kita susah nak cakap apa yang difikir pengirim e-mel tersebut, hanya dia yang tahu apa dia fikir. Pada saya mungkin dia sengaja mahu mewujudkan ketegangan.

“Ingin saya tegaskan di sini, apa yang dilakukan orang ini adalah salah di sisi undang-undang dan pihak polis akan ambil tindakan. Kita berusaha untuk mengesan pelaku dan apa-apa perkembangan kita akan kongsikan kelak,” katanya.

Tengah hari tadi, lebih 500 kakitangan MBJB diarah keluar bangunan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima ancaman bom menerusi e-mel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini