Kawasan air terjun tumpuan ketika cuaca panas

Kawasan air terjun tumpuan ketika cuaca panas

ORANG ramai mengambil peluang beriadah di Taman Rekreasi Tupah ekoran cuaca panas melampau yang melanda Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Beberapa kawasan perkelahan di sekitar Kuala Muda dan Yan, di sini menjadi tumpuan ramai sejak cuti sekolah bermula Khamis lalu ekoran cuaca panas yang melanda negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi termasuk Kawasan Rekreasi Tupah, Sungai Batu Pahat di Merbok, Kawasan Perkelahan Seri Perigi dan Titi Hayun di Yan mendapati kawasan itu menerima kunjungan ramai berbanding kebiasaan.

Walaupun kemarau dan paras air tidak banyak, namun ramai pengunjung tetap mengambil peluang beriadah bersama keluarga untuk berkelah.

Seorang pengunjung, Mohamad Solihin Jabar, 45, dari Pulau Pinang berkata, dia mengambil peluang membawa ahli keluarganya berkelah di Kawasan Rekreasi Tupah untuk menyejukkan badan.

“Saya pulang bercuti ke rumah mertua di Kampung Semeling, di sini dan disebabkan cuaca terlalu panas kami mengambil keputusan untuk mandi-manda di sini.

“Sekurang-kurangnya dapat meredakan bahang kepanasan yang melanda sekarang,” katanya.

Bagi Saidin Said, 38, dari Taman Kelisa pula, cuaca panas yang melampau sejak kebelakangan ini menyebabkan dua anak lelakinya berumur tiga dan lima tahun sering meragam.

“Minggu ini saja sudah dua kali saya membawa mereka berendam di sini dan nampaknya mereka gembira kerana dapat menyejukkan badan,” katanya.

Seorang pekerja swasta dari Taman Bakar Arang, Musliha Mustapha, 43, berkata, dia membawa tiga anak dan ahli keluarga lain untuk berkelah di Kawasan Rekreasi Tupah kerana dekat dengan kediamannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×