Pesara perlu tahu ilmu waris harta, milikan tanah pusaka

Pesara perlu tahu ilmu waris harta, milikan tanah pusaka

PESARA perlu proaktif untuk memikirkan nasib keluarga yang akan ditinggalkan sekiranya berlaku sesuatu bencana yang tidak terduga menimpa diri. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HAKIKATNYA, kesedaran dan keupayaan untuk menguruskan harta pusaka masih rendah dalam kalangan rakyat.

Amanah Raya pernah mengeluarkan kenyataan pada 2021 bahawa terdapat lebih RM90 Bilion jumlah harta beku tidak dituntut dan 90 peratus daripadanya adalah milik orang Melayu.

Antara halangan yang dikenalpasti adalah seperti kesukaran untuk mendapat persetujuan semua waris yang terlibat, kesukaran untuk menyediakan dokumen sokongan untuk proses di Pejabat Tanah, proses-proses yang melibatkan mahkamah serta penangguhan atau proses terhenti lama sehingga terdapat waris yang telah meninggal dunia menyebabkan berlakunya tuntutan pusaka berlapis yang rumit.

Di Malaysia, pentadbiran harta dan tanah pusaka melibatkan beberapa agensi mengikut nilaian tertentu.
Amanah Raya Berhad melibatkan harta nilaian RM600,000 dan ke bawah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melibatkan nilaian RM2 juta dan ke bawah manakala mahkamah melibatkan harta lebih daripada RM2 juta.

Ilmu faraid juga adalah ilmu penting yang bukan sahaja perlu diketahui oleh semua umat Islam.

Satu lagi pertimbangan pendapat adalah selain ilmu pindah milik harta, separuh lagi ilmu itu adalah mengenai ilmu wasiat, hibah dan wakaf.

Menginjak ke usia senja, pesara perlu proaktif untuk memikirkan nasib keluarga yang akan ditinggalkan sekiranya berlaku sesuatu bencana yang tidak terduga menimpa diri.

Perkara paling mudah adalah dengan mengemaskini penama sama ada pasangan mahupun anak-anak atau ahli keluarga yang berkeupayaan untuk menguruskan simpanan sama ada di Tabung Haji, Amanah Saham, Insurans mahupun di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Harta seperti hartanah atau rumah yang sememangnya hendak diberikan kepada waris tertentu sebaik-baiknya dihibahkan agar tidak menjadi pertikaian kemudian hari bersama waris-waris lain yang berhak.

Harta yang ingin diwakafkan juga boleh dikenalpasti dan didaftarkan kepada badan mengurus seperti Jabatan Agama Islam Negeri agar diurus dengan baik dan bermanfaat kepada semua umat Islam.

Bagi yang tidak termasuk dalam kategori waris, boleh dilaksanakan wasiat dengan syarat harta yang diwasiatkan tidak lebih daripada satu pertiga daripada keseluruhan harta.

Selain menerima bahagian harta si mati, faraid juga memberikan ruang dan peluang kepada waris untuk bersedekah kepada keluarga balu dengan memberikan bahagian yang diwarisinya kepada keluarga balu, cara mudah untuk mendapatkan pahala dan kebajikan yang akan diganjarkan oleh Allah di hari pembalasan kelak.

Kaedah ini juga boleh mengeratkan silaturrahim dan menimbulkan kasih sayang yang berpanjangan di antara waris dan keluarga balu.

Kerajaan juga sentiasa menambahbaik pengurusan harta pusaka tanah. JKPTG telah membangunkan perkhidmatan atas talian Sistem Pengurusan Tanah Persekutuan dan Pembahagian Pusaka atau MyeTaPP untuk mengemukakan notis pendengaran melalui email dan notifikasi mesej bagi kes-kes tuntutan harta pusaka di bawah bidang kuasa JKPTG.

Selaku peneraju pembelajaran sektor awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) turut menyediakan wadah latihan kepada bakal pesara bagi memastikan bakal pesara melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan harta dan perancangan pewarisan demi menjaga kebajikan keluarga, mengeratkan silaturrahim dan mengekalkan hubungan baik sesama ahli keluarga.

Ilmu yang bermanfaat boleh menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat sekiranya diamalkan dengan baik. – UTUSAN

AHMAD ZAFWAN SULAIMAN
Ketua Unit Latihan Pasca Perkhidmatan
(INTAN Putrajaya)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×