Keluarga Islam Kok Wah rai Tahun Baharu Cina

Keluarga Islam Kok Wah rai Tahun Baharu Cina

MESKIPUN sudah lebih 20 tahun memeluk agama Islam, namun Lim Kok Wah dan keluarganya tetap meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Kechor, Kangar, Perlis.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun sudah lebih 20 tahun memeluk Islam, Lim Kok Wah, 48, dan keluarganya dari Kampung Kechor di sini tetap meraikan sambutan Tahun Baharu Cina setiap tahun mengikut tradisi kaum tersebut dalam suasana penuh meriah.

Mengikut kebiasaan, pada malam Tahun Baharu Cina, mereka sekeluarga akan mengikut tradisi makan besar di rumah dengan hidangan seperti steamboat dan pelbagai jenis makanan lain.

Keluarga berkenaan juga akan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Cina seperti samfu dan cheongsam selain baju kurung bagi anak perempuan yang sekali gus menggambarkan keindahan sambutan perayaan di dalam keluarga tersebut.

Kok Wah memeluk agama Islam apabila berkahwin dengan Masturia Che Mansor, 44, dan mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Putera Norshah Jimmy Lim, 21, Puteri Nurrasya Maisara, 17, Putra Nursyawal Hakimi, 13, Puteri Nurqaseh Umairah,10, dan Puteri Nurzahra Emellyna, 6.

Lazimnya, keluarga itu juga akan mengunjungi rumah keluarga sebelah bapa di Pulau Pinang bagi meraikan perayaan berkenaan meskipun sudah berbeza pegangan agama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kok Wah berkata, meskipun sudah lama beragama Islam ia tidak menghalang mereka sekeluarga meraikan sambutan Tahun Baharu Cina setiap tahun.

Katanya, dia memeluk agama Islam sejak lebih 20 tahun lalu namun hubungan dengan keluarganya yang beragama Buddha tidak pernah terputus dan tetap meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama pada setiap tahun.

Ujarnya, kami sekeluarga dapat menikmati suasana meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Tahun Baharu Cina dalam suasana cukup meriah setiap tahun.

“Inilah keunikan di Malaysia kita tetap meraikan Tahun Baharu Cina meskipun beragama Islam. Kita mengikut tradisi seperti biasa seperti makan besar dan sebagainya tanpa melanggar hukum syarak agama Islam,” katanya.

Tambahnya, dia dan keluarga selalunya akan mengenakan pakaian berwarna cerah pada Tahun Baharu Cina.

“Kalau tidak beraya di rumah, kami akan berkunjung ke rumah ibu dan bapa saya di Pulau Pinang dan suasana di sana cukup meriah. Jika beraya di rumah, kami tetap raikan dalam suasana penuh ceria.

“Perayaan ini juga mengeratkan lagi hubungan antara kami semua dan keluarga sebelah saya yang melangkaui pelbagai bangsa,” katanya.

Sementara itu, Masturia pula berkata, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini agak meriah apabila diraikan bersama anak-anak yang sudah besar.

Katanya, Tahun Baharu Cina sangat meriah dan mereka raikan mengikut tradisi dengan tidak melanggar syariat Islam.

“Masa tahun pertama meraikan Tahun Baharu Cina di awal perkahwinan dengan suami agak belum mengetahui tradisi khususnya berkaitan pantang-pantang di pagi raya antaranya tidak boleh menyapu sampah dan kena makan manis-manis mengikut tradisi itu.

“Saya juga selalunya masak mee sua untuk hidangan pada Tahun Baharu Raya Cina. Makan besar pula, selalunya hidangan steamboat secara santai dalam keluarga kami ini.

“Pada Tahun Baharu Cina tahun ini, kami akan pergi ke rumah ibu mertua meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN