Gunakan sistem barter – Pakar

Gunakan sistem barter – Pakar

KEJATUHAN nilai ringgit boleh mempengaruhi prestasi perdagangan Malaysia pada masa hadapan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi mencadangkan agar Malaysia menyegerakan penggunaan sistem barter secara lebih meluas dalam urusan import-eksport.

Selain itu, pakar ekonomi mencadangkan agar Malaysia menggunakan mata wang selain dolar Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu menurut pakar ekonomi, bagi meminimumkan impak penyusutan nilai ringgit yang kini berlegar pada kadar RM4.7 berbanding dolar AS.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, sekiranya tidak ditangani (kejatuhan ringgit), harga barangan makanan import akan terus naik dan kesannya boleh menaikkan semula kadar inflasi.

“Ini akan memberi tekanan kepada koş sara hidup rakyat. Selain itu, kos tajaan pelajar luar negara turut meningkat kerana kelemahan ringgit ini,” katanya ketika Utusan Malaysia.

Ringgit meneruskan trend kejatuhan apabila dibuka rendah berbanding dolar AS pagi semalam, terjejas oleh data pasaran buruh AS yang kukuh, kata penganalisis.

Memetik laporan Berna­ma, pada pukul 9 pagi semalam, ringgit jatuh kepada 4.7820/7870 berbanding dolar AS daripada 4.7705/7745 pada penutup semalam. Bagaimanapun, ringgit mengukuh sedikit apabila ditutup pada 4.7655.

Jelas Aimi Zulhazmi, memandangkan kepantasan susut nilai ringgit yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan berdasarkan analisis awal, kemungkinan ringgit akan cuba menguji kadar 4.80 berbanding dolar AS dalam waktu terdekat.

“Antara jangkaan awal pasaran adalah Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah seawal suku pertama tahun ini.

“Namun, ia tidak berlaku malah jangkaan mereka kadar faedah akan dikekalkan tinggi, lebih-lebih lagi data terbaharu menunjukkan ekonomi negara AS terus berkembang pesat dengan kadar pengangguran berkurangan dan jumlah pekerjaan baharu terus meningkat.

“Justeru itu, data positif ini tidak membantu untuk menurunkan kadar inflasi yang kini 3 peratus,” katanya.

Jelas beliau lagi, sekiranya ia berterusan tidak mustahil kadar pertukaran ringgit akan menguji aras RM5 berbanding dolar AS pada pertengahan tahun ini, namun mata wang negara lain juga turut akan merosot seiring dengan pengukuhan dolar AS.

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai pula berkata, secara asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan mengalami peningkatan pusingan ekonomi sehingga 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×