TELUK INTAN: Seorang bekas pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Ridzwan Mahmud@Mahamood, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal dengan cara meraba dan memegang kemaluan mangsa di hadapan kelas di sebuah sekolah di Teluk Intan pada pukul 6.45 pagi, 31 Januari 2024.
Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh bersama syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam selain menjaga ibunya yang uzur berusia 78 tahun.
Dalam prosiding tersebut, beliau turut meminta anak guamnya dirujuk pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran rumahnya selain tidak menganggu mangsa.
Tertuduh juga perlu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Ipoh bagi mendapatkan laporan dari pakar psikiatari.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac akan depan.
Terdahulu, polis menahan seorang pengawal keselamatan kerana disyaki melakukan amang seksual ke atas seorang murid perempuan berusia tujuh tahun di sebuah sekolah di Teluk Intan pada 31 Disember lalu.
Tangkapan terhadap lelaki itu dijalankan susulan laporan polis dibuat rakan sekerja yang mendakwa lelaki itu telah memeluk dan mencabul kehormatan kanak-kanak itu di hadapan kelas di sekolah berkenaan.
Berdasarkan soal siasat, mangsa memberitahu bahawa lelaki itu telah beberapa kali melakukan perbuatan mencabul ketika dia berada di sekolah. – UTUSAN










