SEREMBAN: Tempoh lapan tahun menerajui Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul Seremban adalah pengalaman yang sangat bermakna bagi A. Santhanasamy yang akan bersara sebagai guru besar sekolah tersebut mulai Mac ini.
Beliau yang akan mencapai usia 60 tahun pada bulan tersebut menyifatkan sekolah itu seperti rumah sendiri dan bukannya seperti pejabat yang mempunyai masa tertentu setiap hari.
“Saya menghabiskan banyak masa di sekolah ini dan cuba melakukan yang terbaik sama ada kepada murid, ibu bapa, guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan lembaga pentadbir sekolah.
“Saya gembira kerana semua pihak ini sentiasa ke depan memberi apa saja sokongan dan kerjasama setiap kali diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Apresiasi Sepagi Bersama Guru Besar di sini.
Santhanasamy memulakan karier sebagai guru di SK Kuala Sawah, Rantau pada Januari 1989 dan bertukar ke SK St. Paul sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid pada Januari 2010.
Beliau dilantik sebagai guru besar mulai bulan Disember 2015 dan akan bersara mulai Mac ini pada usia 60 tahun.
Menurutnya, SK St. Paul yang berusia 125 tahun adalah sekolah yang kaya dengan sejarah kepelbagaian murid dari semua kaum dengan budaya berbeza yang mana semuanya diraikan.
“Kami hanya percaya pada semua bangsa, budaya, agama. Setiap orang diberi layanan yang sama rata.
“Kami telah mencapai setiap standard yang menjadi impian setiap ibu bapa untuk menempatkan anak mereka di sini supaya kami dapat membina watak mereka,” katanya.
Walaupun akan bersara, beliau berharap semua murid SK St. Paul yang meninggalkan sekolah itu benar-benar bermotivasi dalam semangat dan tenaga untuk keluar menjadi warganegara yang hebat.











